Cuaca panas Monsun Barat Daya dijangka tidak esktrem
- Admin UKK
- Berita
Putrajaya: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan cuaca panas semasa tempoh Monsun Barat Daya (MBD) pada tahun ini dijangka tidak membawa kesan yang terlalu ekstrem.
Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Halim Hamzah, berkata ia susulan status El Nino Southern Oscilation (ENSO) yang bersifat neutral sekali gus menjadikan impak kemarau tidak seteruk seperti tahun lalu.
"Secara ringkasnya, status neutral ENSO ini bermakna kita boleh menjangkakan monsun yang lebih 'biasa' tanpa pengaruh ekstrem yang dibawa oleh El Nino atau La Nina. Jangkaan ini diramal berterusan sehingga Oktober 2025.
"Walau bagaimanapun, kesan cuaca kering ini masih boleh menyebabkan punca risiko kesihatan, kekurangan bekalan air, kebakaran hutan dan belukar, serta jerebu, dan jika berpanjangan, ia boleh menjejaskan hasil pertanian," katanya pada sesi Taklimat Media Persediaan Menghadapi MBD 2025 di sini, hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Ambun Dindang berkata, pihaknya menjangkakan purata suhu pada musim panas boleh mencapai hingga 36'C dan 37'C bergantung kepada kawasan.
"Lain tempat, lain purata dia punya suhu. Jadi ia bergantung mengikut kawasan terutamanya kalau kawasan pedalaman dan juga di utara negara dia akan lebih tinggi sedikit.
"Secara umum kita boleh lihat musim MBD ini di pedalaman lebih panas kerana ia lembab dan sinaran matahari itu lebih diserap.
"Justeru, suhu itu dalam julat purata mungkin dalam 36'C dan 37'C terutama pada bulan Julai hingga Ogos dan selepas itu menurun pada September," katanya.
Selain itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan bahawa satu empangan berada di tahap waspada kemarau hidrologi, iaitu Empangan Malut di Kedah, dengan status simpanan 37.6 peratus setakat 27 Mei 2025.
Esok satu mesyuarat penyelarasan operasi pembenihan awan di negeri Kedah akan dilakukan sebagai langkah proaktif mengatasi isu itu.
MBD bermula pada Selasa lalu dan berterusan sehingga September ini susulan tiupan angin yang mula bertiup secara konsisten dari arah barat daya ke rantau negara.
Sepanjang musim terbabit, kadar kelembapan udara lazimnya rendah, sekali gus menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan di kebanyakan tempat.
Justeru, negara akan menerima jumlah hujan yang lebih rendah berbanding tempoh lain dengan bilangan hari tanpa hujan adalah lebih banyak.
Bagaimanapun, hujan lebat berserta angin kencang dan ribut petir masih boleh berlaku di kawasan barat Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah, terutamanya pada awal pagi, berikutan kehadiran fenomena garis badai.