Singapura nafi dakwaan tular mengenai bedah siasat COVID-19, undang-undang baharu
- Admin UKK
- Berita
SINGAPURA: Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) menggesa orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak berasas yang boleh menyebabkan kebimbangan orang awam susulan penyebaran maklumat salah mengenai dakwaan hasil bedah siasat COVID-19 dan undang-undang vaksinasi baharu di platform media sosial.
MOH menasihatkan orang ramai supaya merujuk laman sesawang rasmi kementerian di www.moh.gov.sg untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan terkini.
Kementerian itu menjelaskan bahawa mesej yang pada asalnya tersebar pada 2021 muncul semula.
Mesej itu secara palsu mendakwa Singapura adalah negara pertama di dunia yang melakukan bedah siasat ke atas mayat pesakit COVID-19 dan ia mendapati COVID-19 tidak wujud sebagai virus tetapi sebagai bakteria.
"Ini adalah palsu. Seperti yang telah dijelaskan oleh kementerian sebelum ini, Singapura tidak pernah melakukan bedah siasat sedemikian dan juga tidak benar bahawa COVID-19 disebabkan oleh bakteria," kata MOH dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sementara itu, MOH turut menafikan dakwaan di media sosial yang menyatakan kononnya Singapura telah meluluskan undang-undang yang mewajibkan vaksinasi dan memenjarakan individu yang tidak divaksin selepas lawatan Bill Gates ke negara itu baru-baru ini.
"Ini tidak benar. Singapura tidak meluluskan sebarang undang-undang mengenai vaksinasi selepas lawatan Gates ke Singapura," jelas kementerian itu.