PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Operasi cari mangsa tanah runtuh di Papua Barat disambung esok

Operasi cari mangsa tanah runtuh di Papua Barat disambung esok

JAKARTA: Operasi pencarian 14 mangsa yang hilang berikutan tanah runtuh di sebuah lombong emas di Papua Barat terpaksa dihentikan hari ini, akibat hujan lebat.

Menurut pihak berkuasa tempatan, kejadian tanah runtuh yang berlaku pada Jumaat lalu, telah mengorbankan enam pekerja lombong dan empat lagi cedera.

Menurut jurucakap Agensi Mitigasi Bencana Indonesia, Abdul Muhari, hujan lebat telah menyebabkan tanah runtuh di lombong kecil yang diuruskan oleh penduduk pergunungan Arfak di wilayah Papua Barat.

Pihak berkuasa merancang untuk menyambung semula operasi pencarian pada hari esok, selepas bencana itu menenggelamkan tempat perlindungan sementara yang digunakan oleh para pelombong.

Namun, usaha pencarian terhalang disebabkan oleh keadaan jalan yang rosak, laluan berbukit, serta cuaca buruk. Menurut Ketua pasukan penyelamat, Yefri Sabaruddin, operasi terdiri daripada 40 anggota polis dan tentera.

Beliau turut memaklumkan perjalanan ke lokasi mengambil masa 12 jam dari bandar terdekat.

Jumlah kematian yang dilaporkan kini meningkat kepada enam, berbanding satu kematian yang diumumkan sebelum ini.

Perlombongan skala kecil dan haram di Indonesia kerap menyebabkan kemalangan disebabkan lokasi lombong yang terpencil dan sukar untuk dikawal oleh pihak berkuasa.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search