PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Letupan paip gas: Polis temui paip bawah tanah akibat letupan

Letupan paip gas: Polis temui paip bawah tanah akibat letupan

RAWANG: Polis telah menemui paip gas bawah tanah yang meletup di Putra Heights dan proses analisa sedang dilakukan oleh pasukan forensik.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, proses itu berjalan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).

Menurutnya lagi, laporan awal berhubung kebakaran berkenaan dijangka selesai dalam tempoh seminggu lagi.

“Daripada pihak polis, siasatan masih berjalan dari segi kecuaian atau pun khianat.

“Siasatan bagi pihak DOSH masih berjalan dan begitu juga Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

“Jadi kita tunggu dalam seminggu lagi kita akan keluarkan laporan awal kerana sudah hampir selesai dan kita sudah jumpa paip yang meletup,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis perasmian Balai Polis Country Homes oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Pada 1 April lalu, saluran paip gas milik Petronas terbakar dengan api menjulang lebih 30 meter selain suhu mencecah 1,000 darjah celsius.

Situasi itu sekali gus menyebabkan pihak bomba terpaksa mengambil masa selama hampir lapan jam untuk mengawal kebakaran sepenuhnya.

Sebanyak 87 rumah mengalami kerosakan teruk dan tidak boleh didiami manakala 148 rumah lagi terjejas serta mengalami kerosakan, namun masih boleh didiami setelah melalui proses pembaikan.

Dilaporkan, seramai 111 mangsa masih mendapatkan rawatan di beberapa hospital termasuk Hospital Serdang, Hospital Cyberjaya serta Hospital Putrajaya.

 
 
Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search