PBB kecam tentera Myanmar lancarkan serangan ketika gencatan senjata
- Admin UKK
- Berita
GENEVA: Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam tindakan tentera Myanmar yang melancarkan serangan walaupun gencatan senjata diumumkan susulan gempa bumi dahsyat bulan lalu sehingga mengorbankan lebih 3,600 nyawa.
Jurucakap PBB, Ravina Shamdasani, berkata tumpuan ketika ini seharusnya diberikan kepada bantuan kemanusiaan yanh sampai ke kawasan bencana.
"Tetapi sebaliknya tentera melancarkan serangan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk turut menggesa tentera supaya tidak menghalang sebarang penyampaian bantuan kemanusiaan dan menghentikan operasi ketenteraan.
Myanmar dilanda pelbagai konflik sejak 2021, apabila Jeneral Min Aung Hlaing merampas kuasa daripada kerajaan pimpinan, Aung San Suu Kyi.
Selepas berlaku beberapa pertempuran di pelbagai kawasan walaupun selepas gempa bumi pada 28 Mac yang mengorbankan sekurang-kurangnya 3,645 nyawa, pihak junta dan kumpulan penentang bersetuju untuk menghentikan pertempuran buat sementara bagi membolehkan bantuan disalurkan.
Namun, Shamdasani mendedahkan bahawa sejak gempa bumi itu, tentera dilaporkan sudah melancarkan lebih 120 serangan.
"Lebih separuh daripada serangan ini berlaku selepas gencatan senjata yang diumumkan sepatutnya berkuat kuasa pada 2 April," katanya.
Menurut pejabat PBB itu, kebanyakan serangan yang dikenal pasti membabitkan serangan udara dan bedilan artileri, termasuk di kawasan yang terjejas dengan gempa.
"Banyak serangan dilaporkan berlaku di kawasan berpenghuni dan kebanyakannya dilihat sebagai serangan rambang yang melanggar prinsip kesepadanan dalam undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Shamdasani turut menegaskan bahawa kawasan di pusat gempa terutamanya di wilayah Sagaing yang dikuasai oleh penentang tentera, terpaksa bergantung kepada usaha komuniti tempatan bagi kerja mencari dan menyelamat serta memenuhi keperluan asas.
"Jelas bahawa usaha berani ini perlu terus disokong dan serta usaha bersama bagi membantu mereka yang paling memerlukan.
"Dengan semangat ini, kami menyeru supaya tentera mengumumkan pengampunan penuh kepada semua tahanan yang dipenjarakan sejak Februari 2021, termasuk Penasihat Negara Aung San Suu Kyi dan Presiden U Win Myint," katanya.