‘Kita bantu dulu, itu tanggungjawab kita sebagai manusia’
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Bagi lima warga Pakistan yang turut merasai bahang api daripada letupan saluran paip gas di Putra Heights dekat Subang Jaya 1 April, mereka sanggup menggadai nyawa sendiri kerana tidak sanggup meninggalkan mangsa kejadian begitu sahaja.
Kerana itu mereka terjun ke dalam Sungai Klang bagi menyelamatkan kira-kira 30 mangsa yang cuba meninggalkan lokasi kebakaran dengan menyeberangi sungai tersebut.
Katanya, mereka mengambil masa lebih sejam membantu penduduk termasuk kanak-kanak yang menyeberangi sungai selebar 40 meter menuju ke kawasan selamat di Kampung Seri Aman, kira-kira satu kilometer dari lokasi kebakaran.
Atas keberanian itu mereka menerima penghargaan khas daripada Kedutaan Besar Pakistan di Malaysia semalam.
Khaista Nawab, 50; Bakht Munir, 37; Amir Nawab, 47; Rafiq Ullah, 25; dan Jaafar Ali, 40, masing-masing menerima anugerah khas atas tindakan berani dan luar biasa mereka.
Kesemua mereka berasal dari wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Pakistan dan telah menetap serta bekerja di sekitar ibu negara sejak tujuh hingga 20 tahun lalu.
Khaista yang bekerja sebagai buruh berkata, dia pada awalnya mahu menyelamatkan diri bersama pasport, namun niat itu berubah apabila melihat penduduk panik dan berlari menyelamatkan diri.
“Saya fikir, kenapa perlu lari? Kiamat nanti akan ditanya juga. Kita harus bantu orang walau nyawa sendiri jadi taruhan,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Alfaro, di sini semalam.
Tambahnya, mereka mencari rezeki di negara ini dan apabila melihat kejadian itu, dia tidak fikir panjang untuk membantu mangsa.
“Kita bantu dulu, itu tanggungjawab kita sebagai manusia,” ujarnya.
Tindakan berani mereka turut mendapat perhatian rakyat tempatan dan liputan media antarabangsa serta Pakistan.
Sementara itu, pengarah butik pakaian Alfaro, Farooq Ahmad tampil menghulurkan sumbangan berupa tuala, sepasang pakaian dan wang tunai kepada kelima-lima mereka.
Katanya, Menteri Persekutuan Pakistan, Amir Muqam menghubunginya bagi menyampaikan rasa bangga serta penghargaan kerajaan Pakistan terhadap tindakan mereka. – UTUSAN