PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

NGO salur bantuan hampir RM30,000 kepada mangsa Putra Heights

NGO salur bantuan hampir RM30,000 kepada mangsa Putra Heights

PETALING JAYA: 

Yayasan Kebajikan Negara (YKN) mengumpul bantuan berjumlah RM29,533 untuk disalurkan kepada mangsa insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, sebagai sebahagian daripada usaha bantuan kecemasan dan sokongan pasca bencana.

Sumbangan itu digunakan bagi menyediakan bantuan segera kepada mangsa terjejas termasuk keperluan asas seperti makanan, minuman serta sokongan psikososial bagi memastikan kesejahteraan fizikal dan mental mangsa terus terpelihara.

Inisiatif bantuan itu adalah hasil kerjasama antara Pertubuhan Impian Kemajuan Negara (IKN), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YKN, dan Pertubuhan Pemerkasaan Komuniti Malaysia (MPOWER).

Bantuan diagihkan di beberapa lokasi strategik seperti Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights, PPS Dewan Camelia, serta Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), menurut kenyataan bersama oleh agensi dan NGO terlibat.

Dalam pada itu, Pengarah Kanan Bahagian Pentadbiran dan Sumber Manusia YKN Mohd Asrazi Mohamad Aspar berkata sesi kaunseling dilakukan pihaknya menunjukkan impak positif di mana ramai mangsa tampil berkongsi pelbagai masalah.

“Sejak PPS di Masjid Putra Heights diwujudkan pada Selasa lalu, ramai mangsa tampil meluahkan kebimbangan mereka. Pihak kami bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat akan terus memberi sokongan psikososial kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Pengerusi IKN Danial Rafiq Mohd Pathil pula berkata pihaknya komited untuk terus menyalurkan sebarang bentuk keperluan bagi memudahkan proses pemulihan komuniti dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.

“Kami amat bersimpati dengan nasib penduduk yang terjejas akibat insiden ini. IKN tampil membantu dan memastikan kesejahteraan mangsa terbela dalam waktu genting ini,” katanya.

 

Dalam kejadian 2 April lalu, kebakaran membabitkan 500m paip gas menyebabkan 111 cedera yang kebanyakannya melecur dan mengalami masalah pernafasan.

Sebanyak 235 rumah terjejas dengan 87 musnah sepenuhnya manakala 148 lagi rosak. Kebakaran itu turut memusnahkan 225 kenderaan dan merosakkan 174 yang lain.

Ia juga menyebabkan kawah sedalam 10m terbentuk, selain merosakkan rumah serta harta-benda dalam radius 500m dari lokasi kebakaran.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search