PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Wanita tunggal SMART ke Myanmar kongsi detik mendebarkan

Wanita tunggal SMART ke Myanmar kongsi detik mendebarkan

PUCHONG - Pengalaman merasai gegaran susulan gempa bumi di Myanmar ketika sedang melakukan kerja-kerja menyelamat di bawah runtuhan bangunan merupakan antara pengalaman dan cabaran berharga yang tidak akan dilupakan anggota Pasukan Khas Mencari dan Menyelamat Malaysia (SMART), Avlyanie Moidi, 29.

Avlyanie juga merupakan satu-satunya wanita dalam kalangan 50 anggota dan pegawai yang menyertai misi mencari dan menyelamat (SAR) selama enam hari di negara ditimpa bencana besar itu.

“Apa yang saya tidak boleh lupakan secara peribadi adalah sewaktu kami membuat kerja-kerja menyelamat mangsa, kami rasai gegaran susulan dan ketika itu separuh daripada pasukan penyelamat berada dalam bangunan yang tidak stabil.

“Walaupun berdepan dengan detik mendebarkan tapi inilah pengalaman yang bukan saya sahaja tapi juga rakan-rakan lain dalam pasukan yang tidak boleh lupakan. Ia merupakan cabaran yang betul-betul mengancam nyawa,” katanya ketika ditemui di Markas SMART di sini, pada Isnin.

 

Terdahulu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr Abdul Gapar Abu Bakar mengetuai sambutan ketibaan 50 anggota SMART yang Operasi MyTeam Relief Gempa Bumi Myanmar.

Kesemua pasukan yang terlibat selamat mendarat di Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada 5 petang dengan menaiki pesawat A400M milik TUDM sebelum di bawa ke Markas SMART di sini, dan disambut ahli keluarga masing-masing.

Sementara itu, ditanya mengenai cabaran menjadi satu-satunya anggota wanita yang menyertai misi berkenaan, anak kelahiran Tuaran, Sabah tersebut menjelaskan tiada sebarang perbezaan baginya.

Ini kerana katanya, sepanjang menyertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebelum ditugaskan dalam pasukan SMART, semua anggota dan pegawai dilatih untuk tidak menjadikan jantina sebagai halangan untuk melaksanakan tanggungjawab.

“Kami telah dilatih sejak daripada agensi asal (JBPM) kami telah dilatih untuk tukar mindset (cara berfikir) tidak melibatkan jantina ketika bertugas. Malah, saya juga berasa sangat bangga membawa nama Malaysia.

“Semua orang boleh ke luar negara tapi sangat susah kita ke luar negara membawa bendera Malaysia dan atas sebab itu saya sangat berbangga,” katanya.

Dalam pada itu, seorang anggota SMART yang menyertai misi berkenaan, Norhisham Che Mohd Daud, 38, tidak dapat menahan sebak apabila hasratnya untuk menyambut Aidilfitri bersama bapa tersayang tidak kesampaian.

Lebih memilukan lagi, berita mengenai pemergian bapa, Che Mohd Nor Che Daud diterima ketika sedang bertungkus lumus melakukan misi SAR di Myanmar.

“Pada 5 April saya keluar ke lokasi untuk membuat penilaian dan menghantar peralatan logistik dan line telefon ketika itu tidak ada dan saya tidak tahu mengenai pemergian ayah saya ketika itu.

“Selepas sampai ke pusat operasi barulah saya dimaklumkan berkenaan dengan kematian ayah. Jadi, saya terpaksa menahan dan mengetepikan perasaan itu dan bohonglah kalau saya kata tidak ada perasaan sebak,” katanya.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search