PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Kebakaran saluran gas: Lima van Rapid KL-On Demand bantu hantar pelajar terjejas ke sekolah

Kebakaran saluran gas: Lima van Rapid KL-On Demand bantu hantar pelajar terjejas ke sekolah

KUALA LUMPUR: Lima van Rapid KL-On Demand digerakkan pagi ini bagi menghantar 76 pelajar dan murid terjejas insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor daripada dua pusat pemindahan sementara (PPS) ke 19 sekolah di sekitar Subang Jaya.

Daripada jumlah itu, 42 adalah murid sekolah rendah dan 34 pelajar sekolah menengah.

 

Ketua Wilayah Tengah Rapid Bus Sdn Bhd, Khairul Azhar Hamidulah, berkata pihaknya membuat perancangan awal bersama pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak berkuasa tempatan, bagi memastikan kelancaran proses penghantaran pelajar.

"Daripada jumlah itu, seramai 60 orang adalah pelajar sesi pagi dan 16 sesi petang. Namun, jumlah sebenar pagi ini mungkin sedikit kurang dan akan bertambah dari semasa ke semasa," katanya kepada Bernama.

Inisiatif itu digerakkan dengan kerjasama Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), PPD Petaling Perdana, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Prasarana Malaysia Berhad.

 

Sementara itu, Pengurus Besar Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) Nur Mohd Razali Abdullah berkata bantuan perkhidmatan pengangkutan itu, setakat ini disediakan untuk tempoh dua minggu bergantung keperluan dan situasi semasa.

Beliau berkata khidmat pengangkutan yang disediakan meliputi pergerakan menghantar dan mengambil pelajar-pelajar dalam lingkungan radius tujuh kilometer dari PPS ke sekolah masing-masing.

"YIDE kekal komited memastikan kebajikan para pelajar yang terjejas terurus. Segala bentuk bantuan akan disalurkan secara berperingkat, demi memastikan setiap pelajar dapat meneruskan sesi persekolahan dalam keadaan dan selesa," katanya.

Nur Mohd Razali berkata YIDE menjunjung kasih atas titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan keprihatinan terhadap nasib pelajar-pelajar yang terkesan.

Beliau berkata YIDE selaku anak syarikat Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), telah memulakan inisiatif menyantuni pelajar-pelajar yang terkesan dengan menyalurkan bantuan kelengkapan persekolahan termasuk baju uniform, beg, kasut dan alat tulis kepada 194 pelajar bermula Jumaat lepas. -- BERNAMA

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search