PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Kebakaran di Putra Heights cetus gangguan pengeluaran, kerugian kewangan 200 kilang

Kebakaran di Putra Heights cetus gangguan pengeluaran, kerugian kewangan 200 kilang

KUALA LUMPUR: Kejadian kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor memberi impak besar terhadap operasi kira-kira 200 kemudahan industri di Lembah Klang melibatkan pelbagai subsektor pembuatan dan saiz syarikat.

Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai, berkata pengilang yang terjejas kebanyakannya bergantung kepada bekalan gas yang stabil dan terjamin untuk pengeluaran selain berdepan kemungkinan pemberhentian pengeluaran, kerugian kewangan dan gangguan teruk kepada rantaian bekalan mereka.

 

Beliau berkata, paling terjejas teruk iaitu kalangan pengilang yang beroperasi sepanjang masa terutamanya pengilang barangan kritikal dan keperluan seperti makanan dan minuman serta gas industri.

"Walaupun pemulihan secara am dijangka pada 20 April 2025, kami memahami bekalan kepada penyedia perkhidmatan penting terpilih seperti kemudahan pembuatan makanan, mungkin bermula seawal hari ini.

"Bagaimanapun, ini tertakluk kepada faktor-faktor seperti lokasi geografi kilang-kilang dan tahap tekanan yang dapat dicapai dalam keadaan semasa," kata Soh kepada Bernama.

Pada 1 April lalu, kebakaran berlaku di paip utama Petronas Gas Bhd (PGB) berhampiran Putra Heights yang mengakibatkan gangguan bekalan gas ke kemudahan industri yang terjejas.

Syarikat yang terjejas adalah pelanggan PGB dan Gas Malaysia Bhd.

Beliau berpendapat pada ketika ini, sukar untuk menganggarkan jumlah kerugian yang ditanggung oleh syarikat terjejas kerana ia bergantung kepada jadual pemulihan bekalan gas secara sepenuhnya.

FMM memberi amaran kemungkinan berlaku kelewatan dalam memenuhi pesanan eksport terutamanya untuk barangan yang sensitif terhadap masa atau mudah rosak walaupun untuk syarikat yang tidak terjejas secara langsung tetapi berada dalam rantaian bekalan syarikat terjejas.

"Apabila pembekal tempatan alternatif tersedia, pembeli mungkin mengalihkan pesanan mereka buat sementara waktu yang boleh menjejaskan hubungan dengan pelanggan bagi pengilang-pengilang yang terjejas," kata Soh.

Dalam jangka masa pendek, beliau berkata syarikat-syarikat terbabit mungkin menanggung kos pengeluaran yang lebih tinggi melalui sumber tenaga alternatif bagi memenuhi komitmen mereka yang akan menjejaskan margin keuntungan.

"Jika gangguan ini berlarutan, ia berpotensi menyebabkan pembatalan pesanan atau kehilangan kontrak eksport," katanya.

Menurut Soh, kebanyakan syarikat kini sedang berusaha menguruskan keadaan daripada kemudahan sedia ada mereka.

 

Bagaimanapun, katanya syarikat-syarikat yang mempunyai beberapa kilang atau rangkaian serantau mungkin mengalihkan pengeluaran secara sementara ke tapak yang tidak terjejas.

Soh berkata kejadian seperti ini tidak dapat dielakkan yang akan memberi kesan kepada keyakinan perniagaan terutamanya dalam kalangan pelabur yang menilai kebolehpercayaan infrastruktur utiliti.

"Walaupun Malaysia kekal sebagai hab pembuatan yang kompetitif, kejadian ini menekankan keperluan untuk perancangan kecemasan yang lebih baik dan keterjaminan tenaga.

"Pelabur kini boleh memberi penekanan yang lebih besar terhadap kesinambungan bekalan menerusi penilaian risiko serta proses penyelidikan teliti mereka," katanya.

Soh berkata, industri kini giat meneroka penyelesaian sementara seperti pengaturan bekalan gas alternatif atau langkah-langkah bantuan bagi mengurangkan gangguan perniagaan termasuk meninjau bekalan alternatif seperti gas asli cecair (LNG) melalui lori tangki.

Mereka juga meminta bantuan daripada pihak berkuasa yang berkaitan bagi memudahkan pengaturan dan kelulusan yang diperlukan berdasarkan asas kecemasan bagi meminimumkan impak gangguan bekalan kepada industri yang terjejas.

"FMM sedang giat berhubung dengan Suruhanjaya Tenaga, Gas Malaysia Energy and Services, kerajaan negeri dan pihak berkuasa yang berkaitan bagi mempercepatkan pemulihan bekalan terutamanya kepada industri yang dikategorikan di bawah perkhidmatan penting," katanya.

Soh berkata kejadian ini bagaimanapun menjadi peringatan penting berhubung keperluan untuk strategi pengurusan risiko tenaga yang komprehensif terutamanya dalam landskap apabila pergantungan industri terhadap gas asli paip menjadi kebiasaan.

"FMM menggesa pihak berkuasa untuk memberi keutamaan kepada pembinaan daya tahan dalam infrastruktur tenaga selain menyokong industri dalam membangunkan pilihan bahan api alternatif yang lebih mudah diakses serta kos lebih cekap," katanya.

 

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search