Bina rumah panjang lebih besar
- Admin UKK
- Berita
SIBU, 10 Mac: Kerajaan Sarawak komited untuk meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar melalui inisiatif pembangunan lebih menyeluruh, dengan menumpukan aspek ekonomi, sosial, dan infrastruktur.
Adun Tamin, Ir. Christopher Gira Sambang berkata, pelbagai peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) digerakkan untuk mempercepat proses pembangunan, terutama di luar bandar yang memerlukan perhatian dalam infrastruktur dan kesejahteraan masyarakat.
Menurutnya, peruntukan itu merupakan usaha berterusan kerajaan untuk meningkatkan kemudahan dan kesejahteraan penduduk, terutama kawasan rumah panjang.
“Penduduk rumah panjang di sini terus berusaha keras merealisasikan impian membina rumah panjang lebih besar, lebih selamat, dan jauh daripada ancaman bencana banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap dalam Majlis Perasmian Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Temawai Lama, Ulu Siong Kanan Rumah Periggie Agam, kelmarin.
Gira memberi jaminan akan terus memberikan sokongan penuh kepada penduduk di kawasan DUN Tamin.
Jelasnya, kemajuan dalam sektor komunikasi juga semakin dirasai, dengan kawasan Siong kini menikmati liputan rangkaian telekomunikasi lebih baik berbanding sebelumnya.
“Sehingga kini, 36 menara Telekom dibina di kawasan DUN Tamin, manakala hampir keseluruhan rumah panjang di kawasan ini menikmati bekalan elektrik,” jelas Gira.
Dalam program itu, Gira memperuntukkan RM255,000 kepada JKKK Temawai Lama, Ulu Siong, dengan RM100,000 disalurkan melalui Program Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) untuk membeli bahan binaan, manakala RM150,000 diperuntukkan untuk projek naik taraf tempat letak kereta melalui RTP.
Selain itu, RM5,000 turut diberikan kepada Biro Wanita di Rumah Periggie Agam. -TVS