Projek tebatan banjir: Kelantan rujuk peguam untuk tindakan mahkamah
- Admin UKK
- Berita
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan sudah merujuk kepada peguam untuk meneliti dakwaan bahawa pihaknya menyalahguna duit peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan untuk projek tebatan banjir.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata pihak peguam akan melihat dakwaan itu jika ia ada unsur fitnah yang mencemarkan negeri Kelantan.
Katanya, pihak peguam akan tengok dahulu dan kaji daripada perspektif undang-undang.
"Memang (dakwaan) itu fitnah walaupun tidak sebut Kelantan dan menyebut SG4 (empat kerajaan negeri ditadbir Perikatan Nasional). Namun, tebatan banjir (yang disebut) merujuk kepada Kelantan.
"Justeru, kerajaan negeri akan tengok isu itu untuk ambil tindakan mahkamah," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud sudah membuat kenyataan bahawa itu adalah fitnah sebab kontraktor projek tebatan banjir dilantik Kerajaan Persekutuan.
Terdahulu, kerajaan Kelantan menafikan dakwaan pihaknya menyalahguna peruntukan Kerajaan Persekutuan untuk projek tebatan banjir.
Mohd Nassuruddin berkata dakwaan dana projek tebatan banjir daripada Kerajaan Pusat disalah guna kerajaan negeri untuk diberi kepada Ahli Parlimen sehingga projek tidak siap, adalah fitnah serta bohong.