Cuaca mendung, hujan sekejap-sekejap di Selangor, KL, Putrajaya petang ini
- Admin UKK
- Berita
PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan hujan dalam tempoh yang pendek di beberapa kawasan di Pantai Barat Semenanjung seperti Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Melaka pada petang ini.
Menerusi laporan cuaca di YouTube, MetMalaysia berkata, keadaan cuaca di empat negeri terlibat dalam suasana mendung.
“Kebarangkalian untuk berlaku hujan (sebelah petang) itu ada, kebanyakan tempat dalam keadaan agak mendung disertai dengan hujan sekejap-sekejap.
“Bagaimanapun ia akan beransur reda sedikit masa lagi,” katanya. Tambah MetMalaysia, keadaan kurang hujan di kawasan Semenanjung boleh berlarutan sehingga ke malam nanti.
Sementara itu, dalam laporan cuaca berlainan, MetMalaysia memaklumkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda negeri Sarawak membabitkan bahagian Sarikei (Meradong), Sibu, Mukah (Tanjung Manis dan Daro), Kapit (Kapit dan Belaga), Bintulu (Tatau), Miri (Telang Usan) dan Limbang.