PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Dugaan menjelang Ramadan

Dugaan menjelang Ramadan

Rantau Panjang: "Saya berharap banjir kali ini tidak berlarutan memandangkan puasa juga hanya beberapa hari lagi, kami mahu menyambut Ramadan di rumah dengan tenang," luah Aminah Saari, 37.

Aminah berkata, halaman kediaman rumahnya mula dilanda banjir sejak tengah malam tadi, dan paras air juga semakin bertambah walaupun ia naik secara perlahan.

Katanya, cuaca mendung dan hujan lebat sejak dua hari lalu menyebabkan air di Sungai Golok berhampiran kediamannya juga melimpah, malah ia turut membanjiri Pintu 2 dan Pintu 3 Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di sini.

"Saya sekeluarga mengemas pagi ini kerana bimbang akan keadaan air yang semakin tinggi. Setakat ini, air masih belum memasuki bahagian dalam rumah tetapi kami mahu bersiap siaga untuk sebarang kemungkinan.

"Kami juga berdoa semoga cuaca cerah tanpa hujan supaya air segera surut, kerana jika ia berlarutan, pasti banjir melanda dan mengambil masa hampir seminggu untuk kembali pulih.

"Sejujurnya, kami sekeluarga baru sahaja berpakat untuk mengemas serta membeli barangan dapur bagi menyambut Ramadan dan sangat berharap semoga bah tidak melanda supaya kami boleh menjalani ibadah berpuasa dengan tenang," katanya yang tinggal di Kampung Kubang Chenok di sini

Aminah berkata, anaknya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sri Rantau Panjang (1) juga tidak dapat meneruskan pembelajaran hari ini, susulan kawasan sekolah turut dinaiki air sejak malam tadi.

Penolong kanan pentadbiran SRU (A) Tarbiah Islamiah Lubok Gong, Zahari Mokhtar pula berkata, air naik dengan mendadak menyebabkan pihak sekolah tidak sempat untuk memindahkan atau menyelamatkan barangan ke tempat tinggi.

"Sesi persekolahan juga ditutup sementara kerana pagi ini air membanjiri kawasan sekolah separas hampir satu meter selain turut menjejaskan kelas di bahagian bawah serta kantin.

"Kami baru sahaja berhadapan dengan kerugian apabila sekolah ini dilanda banjir teruk pada November lalu, dan tidak menyangka kali ini bah melanda lagi dengan sangat cepat," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Hamzah Musa, ketika dihubungi berkata beberapa kawasan rendah berdekatan sungai mulai dinaiki air sejak malam tadi.

"Situasi berkenaan juga berlaku susulan taburan hujan lebat di kawasan hulu yang menyebabkan paras air di Sungai Jenob, Tanah Merah, melepasi tahap bahaya. Air dari sungai terbabit mengalir ke Sungai Golok yang menyebabkan berlaku bah di kawasan rendah di sini," katanya.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search