PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Bukan runtuhan biasa, rumah dah tak selamat diduduki'

Bukan runtuhan biasa, rumah dah tak selamat diduduki'

TAPAH - Enam beranak terpaksa berpindah keluar selepas kediaman mereka tidak lagi selamat diduduki susulan kejadian tanah runtuh di Taman Bunga Raya di sini pada Isnin lalu.

Fahmi Ahmad Jakhisi, 42, berkata, kejadian sekitar jam 11.30 malam itu telah mengakibatkan keseluruhan struktur dapur rumahnya runtuh.

Menurutnya, kediaman yang diduduki sejak enam tahun lalu itu juga berada hampir dengan lereng bukit dan sudah menunjukkan tanda-tanda rekahan baharu di lantai dan dinding rumah.

"Anak dan isteri saya kalau boleh tak ingin duduk di sini lagi kerana risau kejadian sama berulang.

"Sampai hari ini pun, saya dapat rasakan pergerakan tanah di bawah itu masih ada, kesannya sudah meleret ke bahagian ruang makan rumah saya.

"Sudah pasti kami bimbang akan keselamatan dan trauma menghadapi keadaan sekarang ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Sabtu.

Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Perak berkata, insiden runtuhan tanah itu disedari berlaku sebaik mendengar dentuman kuat seakan bangunan runtuh.

Mujurlah semasa kejadian, dia berada di ruang tamu sebelum segera mengejutkan isteri dan empat anaknya yang tidur di bilik untuk keluar serta memaklumkan situasi berlaku kepada jiran.

"Buat masa ini, kami sekeluarga menyewa di kawasan perumahan berhampiran sementara menunggu keadaan pulih.

"Harap jabatan dan pihak-pihak berkaitan dapat mencari jalan penyelesaian sebaiknya, lagipun rumah ini saya beli, pinjaman di bank pun masih ada," katanya.

Zulkifli Kamil, 37, yang baru berpindah ke kewasan perumahan tersebut enam bulan lalu mengakui, tidak tidur lena dengan kejadian itu memandangkan kedudukan rumahnya hanya berjarak kurang lima meter dari kawasan runtuhan.

Katanya, kejadian itu mengakibatkan sebahagian pagar di bahagian belakang rumahnya runtuh selain berlaku rekahan tanah.

"Saya tunggu arahan pihak berwajib, jika diminta pindah, maka kami akan pindah.

"Tetapi jujurnya, sekarang pun tidur malam dah tak lena, takut kalau-kalau berlaku lagi runtuhan kerana kesan rekahan tanah dah semakin hampir ke kawasan rumah saya," katanya.

Seorang lagi penduduk, Wong Lai Yun, 42, berkata, hujan lebat yang berlaku dalam tempoh seminggu ini memberi kesan lebih buruk kepada keadaan rumah.

Katanya, rumah teres setingkat yang dibeli daripada pemaju enam tahun lalu tersebut sudah menunjukkan kesan pecah di beberapa bahagian dinding dan lantai akibat kejadian itu.

"Sekarang ini, saya dan keluarga tak berani nak duduk rumah ini lagi. Kami buat keputusan untuk tinggal sementara di rumah bapa di Tapah Road," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Penduduk Taman Bunga Raya, Zaaba Ahmad berkata, dianggarkan 20 kediaman yang berada di kawasan lereng bukit perumahan itu berdepan risiko sama sekiranya tiada tindakan segera dilakukan.

"Kami tidak dimaklumkan pun apa tindakan atau perancangan yang akan dilakukan di sini sedangkan kerosakan yang dilaporkan semakin hari semakin teruk.

"Saya harap kerajaan negeri dapat campur tangan dan bantu penduduk menangani masalah ini," katanya.

Runtuhan tanah tersebut turut menyebabkan saluran paip air mentah yang menyalurkan air ke Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Temoh bocor dan mengakibatkan beberapa kawasan di Tapah, Bidor dan Teluk Intan mengalami gangguan bekalan air.

Kerja-kerja pembaikan paip bocor sedang dilakukan melibatkan pemasangan dinding penahan di bahagian atas dan bawah kawasan runtuhan tersebut.

 

 

 
Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search