Sebulan terkepung air bah tak surut
- Admin UKK
- Berita
Dikelilingi air sejak hampir sebulan, rumah panjang Malo yang terletak di Nanga Penyarai kira-kira dua jam perjalanan melalui sungai dari pekan Tatau di sini, kini seakan-akan pulau kecil yang terasing akibat banjir.
Rumah panjang itu terputus hubungan apabila satu-satunya jalan darat ke pekan terdekat tidak dapat dilalui kerana dinaiki air.
Tuai Rumah Malo, Jaah, 66, menyifatkan bencana banjir kali ini sebagai dugaan terbesar yang pernah dihadapi penduduk rumah panjang 44 pintu itu yang mula dibina pada 2000.
Dia berkata, kawasan rumah panjang dibina berhampiran sungai itu g pernah dinaiki air sebelum ini tetapi tidak mengambil masa begitu lama untuk surut.
“Hujan melanda sejak pertengahan bulan lalu… hingga kini air belum surut dan hujan berterusan.
“Penduduk tidak dapat keluar mencari rezeki dan tanaman banyak musnah, jadi buat masa ini kami boleh cari ikan sahaja.
“Banjir kali ini paling dahsyat, tidak pernah lagi seperti ini. Semua kawasan di daerah Tatau terjejas, jalan putus dan rumah tenggelam.
“Nasib baik rumah panjang kami dibina sedikit tinggi jadi terselamat daripada ditenggelami” katanya.
Selain rumah panjang Malo, kawasan sekitar rumah itu seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Penyarai dan Klinik Kesihatan Kakus turut terjejas.
Penolong kanan SK Nanga Penyarai Mohd Faishal Ibrahim yang berkhidmat di sekolah itu lebih 20 tahun berkata, buat masa ini terdapat 100 orang yang terkandas di kawasan Nanga Penyarai termasuk lima staf sekolah dan tiga staf klinik Kakus.
“Jalan darat tidak boleh dilalui, jadi satu-satunya cara ke pekan Tatau ialah dengan bot. Masalahnya, kami kekurangan minyak untuk bot dan generator hingga perlu buat catuan. “Tenaga solar tidak dapat beroperasi sepenuhnya kerana cuaca mendung,” katanya.
Ahad lalu, Menteri di Jabatan Premier Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Tenaga solar tidak dapat beroperasi sepenuhnya kerana cuaca mendung Mohd Faishal
Negeri Kakus Datuk Seri John Sikie Tayai berkata, 14 tan bekalan makanan dihantar kepada mangsa banjir di kawasan pedalaman daerah Tatau, kira-kira 50 kilometer dari pusat bandar Bintulu.
Misi penghantaran makanan membabitkan pelbagai agensi digerakkan menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tatau itu, dilaksanakan menerusi pengangkutan air dan udara.
Antara kawasan yang menerima bantuan makanan adalah kawasan Nanga Penyarai dan Nanga Tau.
Setakat pagi semalam, satu-satunya pusat pemindahan sementara (PPS) di Tatau iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Tatau yang dibuka pada 29 Januari lalu menempatkan 712 mangsa daripada 216 keluarga.