Rumah panjang Malo jadi pulau sejak sebulan
- Admin UKK
- Berita
Bintulu: Dikelilingi air sejak hampir sebulan, rumah panjang Malo yang terletak di Nanga Penyarai, kira-kira dua jam perjalanan melalui sungai dari pekan Tatau di sini, kini seakan-akan pulau kecil yang terasing akibat banjir.
Rumah panjang itu terputus hubungan apabila satu-satunya jalan darat ke pekan terdekat tidak dapat dilalui kerana dinaiki air.
Tuai Rumah Malo, Jaah, 66, menyifatkan bencana banjir pada kali ini sebagai dugaan terbesar yang pernah dihadapi penduduk rumah panjang 44 pintu itu yang mula dibina pada 2000.
Dia berkata, kawasan rumah panjang yang dibina berhampiran sungai itu memang pernah dinaiki air sebelum ini tetapi tidak mengambil masa begitu lama untuk surut.
“Hujan mula melanda sejak pertengahan bulan lalu, hingga kini air belum surut dan hujan masih berlaku. Penduduk tidak dapat keluar mencari rezeki dan tanaman pula banyak yang musnah, jadi buat masa ini kami boleh cari ikan sahaja.
“Banjir kali ini memang paling dahsyat, tidak pernah lagi seperti ini. Semua kawasan di daerah Tatau terjejas, jalan putus dan rumah tenggelam. Nasib baik rumah panjang kami dibina sedikit tinggi jadi terselamat daripada ditenggelami air,” katanya kepada BERNAMA.
Sekolah turut terjejas
Selain rumah panjang Malo, kawasan sekitar rumah itu seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Penyarai dan Klinik Kesihatan Kakus turut terjejas akibat dinaiki air.
Penolong Kanan SK Nanga Penyarai, Mohd Faishal Ibrahim yang berkhidmat di sekolah itu lebih 20 tahun, berkata buat masa ini ada kirakira 100 orang terkandas di kawasan Nanga Penyarai termasuk lima staf sekolah dan tiga staf klinik Kakus.
“Jalan darat memang tidak boleh dilalui, jadi satu-satunya cara untuk ke pekan Tatau ialah dengan menggunakan bot. Masalahnya, kami kekurangan minyak untuk bot dan generator hingga terpaksa buat catuan. Tenaga solar pula tidak dapat beroperasi sepenuhnya kerana cuaca mendung,” katanya.
Di Kuching, sebanyak 38 pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir di tujuh daerah di Sarawak ditutup sehingga jam 4 petang ini.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, tujuh daerah yang diisytihar sudah pulih daripada banjir adalah Kuching, Bau, Asajaya, Simunjan, Gedong, Saratok dan Kapit.
PPS yang masih aktif menampung 9,312 mangsa daripada 2,756 keluarga.
Daripada 44 PPS yang masih aktif, Miri mencatat jumlah tertinggi iaitu 13, Serian (7), Bintulu (9), Sibu (5), Samarahan (4) dan Mukah (3).
Bintulu mencatat jumlah mangsa tertinggi dengan seramai 4,744, Serian (1,542), Miri (1,466), Sibu (850), Samarahan (534) dan Mukah (176).
Lebih 13,000 berlindung di 63 PPS berikutan banjir luar biasa di Sarawak bermula 29 Januari lalu.
Ketika ini beberapa kawasan semakin pulih, namun difahamkan beberapa kampung di Dalat dalam bahagian Mukah paras air masih tinggi.
Beberapa penempatan di hulu daerah berkenaan antaranya Nanga Baoh, Kampung Narub, Kampung Sau dan Kampung Medong masih ditenggelami air.