Awan kurang punca beberapa daerah di Kelantan sejuk
- Admin UKK
- Berita
Jabatan Meteorologi Malaysia (Metmalaysia) Kelantan memaklumkan awan yang berkurangan menyebabkan beberapa daerah di Kelantan termasuk Jeli dan Kuala Krai dilaporkan mengalami cuaca sejuk terutama waktu pagi.
Pengarahnya, Mohd Sani Saayon, bagaimanapun berkata situasi itu adalah perkara biasa dan tiada yang istimewa.
Beliau berkata, keadaan suhu masih lagi seperti biasa terutama bermula waktu tengah hari dan suhu sejuk itu bukannya berterusan sepanjang hari.
“Saya tidak dimaklumkan lagi suhu di daerah tertentu sehingga mencatat 18 darjah Celsius sebagaimana dilaporkan pihak tertentu, saya sendiri tidak tahu bagaimana mereka membuat pemeriksaan suhu kerana saya tidak dimaklumkan suhu serendah itu.
“Kebiasaan suhu di daerah berkenaan termasuk Jeli dan Kuala Krai pada waktu pagi adalah sekitar 22 hingga 23 darjah Celsius dan naik kepada lebih 30 darjah Celsius pada waktu tengah hari.
“Situasi sejuk ini bukan sebagaimana yang ditularkan. Saya bimbang sekiranya tular mengenai tidak betul ia menjadi kebimbangan kepada orang ramai,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, cuaca yang dialami kini di beberapa daerah adalah perkara biasa dan tidak perlu diperbesarkan.
“Melainkan suhu 20 darjah Celsius dari pagi sehingga tengah hari dan malam, itu barulah kita boleh kata sejuk. Ini sebaliknya pakai baju sejuk waktu pagi dan tengah hari terpaksa buka semula sebab cuaca kembali panas.
“Cuma apa yang saya boleh katakan cuaca sedikit sejuk pada waktu pagi kerana awan berkurangan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Kuala Krai berdepan cuaca sejuk sehingga suhu mencecah 18 dan 19 darjah Celsius pada awal pagi selain keadaan berkabus.
Penduduk turut menyamakan mereka seperti berada di Cameron Highlands kerana cuaca sejuk.