Sarawak salur RM50,000 kepada lima keluarga mangsa tragedi
- Admin UKK
- Berita
Kerajaan Sarawak menyalurkan bantuan RM50,000 kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit, di Miri, kelmarin.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata bantuan itu disalurkan bagi meringankan beban keluarga mangsa yang terselamat dalam kejadian itu.
“Setiap mangsa yang terkorban diberi bantuan RM10,000,” katanya selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir di Dewan SJKC Chung Hua, Batu Kawa, semalam.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian; Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti negeri, Datuk Seri Fatimah Abdullah serta Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi kelmarin, lima mangsa disahkan terkorban selepas tertimbus dalam runtuhan tebing Bukit Kanada itu.
Mereka yang maut ialah dua wanita, Sazarena Arabi, 41; Fatimah Dawi, 71; dua kanak-kanak perempuan, Nur Raisyah Syahirah, 8, serta Nur Rania Syafiqah, 11 dan remaja lelaki, Irsyad Syairah, 16.
Uggah berkata, isu keselamatan kediaman di kawasan lereng bukit akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam masa terdekat.
Beliau yang juga pengerusi jawatankuasa itu berkata, perkara itu turut akan dibentangkan kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi mencari penyelesaian jangka panjang.
“Perlu ada kajian terhadap rumah di kawasan lereng bukit. Kami juga berharap Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mengambil perhatian terhadap perkara ini.
“Buat masa ini, penduduk kampung yang tinggal di kawasan lereng bukit dinasihatkan supaya berpindah segera, jika keadaan rumah tidak selamat untuk diduduki,” katanya.
JKM sedia kaunselor
Sementara itu, Fatimah berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak menyediakan kaunselor bagi membantu memulihkan emosi semua mangsa yang selamat dalam kejadian itu.
“Bagi keluarga yang terselamat, musibah itu pasti meninggalkan kesan terhadap mereka dan gangguan emosi yang berat terpaksa ditanggung.
“JKM akan menanganinya dengan menghantar kaunselor untuk membantu memulihkan semangat dan emosi mereka,” katanya.
Selain itu, katanya, JKM juga menggerakkan kaunselornya ke semua PPS mangsa banjir di seluruh negeri.
“Pejabat JKM di setiap bahagian mempunyai kaunselor, tetapi jika bahagian atau daerah tidak mengalami banjir, kita akan memanggil kaunselor itu untuk membantu di tempat dilanda musibah berkenaan,” katanya.