3 terperangkap banjir diselamatkan
- Admin UKK
- Berita
Pasangan suami isteri cemas apabila kenderaan mereka gagal melepasi banjir ketika meredah jalan yang dinaiki air di Kanowit, Sibu, semalam.
Lebih membimbangkan, pasangan terbabit turut membawa bayi yang berusia empat bulan ketika kenderaan mereka terperangkap dalam banjir di Jalan Lukut-penyulau di Kanowit itu, pada jam 6.10 pagi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.15 pagi.
Beliau berkata, dua anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit diarah ke lokasi terletak 30 kilometer dari balai sejurus menerima panggilan itu.
“Setiba di lokasi kejadian pada jam 6.50 pagi, didapati sebuah kenderaan terperangkap dalam banjir dan anggota menggunakan jaket keselamatan bergerak ke lokasi mangsa yang dianggarkan dalam jarak 130 meter.
“Anggota kemudian meredah air dengan kedalaman kira-kira 1.5 meter dan berjaya membawa keluar tiga mangsa ke tempat yang selamat,” katanya.
Jurucakap itu berkata, mangsa dikenali sebagai Mohd Syaiful Ibrahim, 41 dan isterinya, Suria Rosli, 29, serta bayi perempuan mereka berusia empat bulan, Aliana Afisya.
Katanya, ketika kejadian keluarga terbabit dalam perjalanan dari Sibu ke Kanowit untuk menghantar sayur ke pasar.
Difahamkan, ketika meredah banjir, kenderaan mereka terhenti sebelum enjin gagal dihidupkan.
Banjir yang melanda kawasan rendah sepanjang tebing Sungai Batang Rajang, semalam, berlaku akibat limpahan air sungai itu.