38 calon SPM di Johor terjejas bah
- Admin UKK
- Berita
Johor Bahru: Seramai 38 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 terkesan banjir di negeri ini, setakat ini, dengan 21 daripada mereka tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS), manakala bakinya menumpang di rumah saudara.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin, berkata ia membabitkan 12 calon SPM di daerah Kota Tinggi, empat calon di Kluang, Kulai (lapan), Pontian (tujuh), Pasir Gudang (empat) dan tiga di Johor Bahru.
“Hari ini (semalam), tujuh calon SPM terjejas banjir menduduki peperiksaan subjek Matematik Tambahan.
“Di Kulai pula, seorang calon terkesan banjir menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) hari ini (semalam),” katanya menerusi kenyataan, semalam.
133 PPA di enam negeri
Pada 2 Januari lalu, Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan dilaporkan berkata, sebanyak 133 Pusat Peperiksaan Alternatif (PPA) disediakan bagi menempatkan calon SPM di enam negeri yang berisiko jika pusat peperiksaan sedia ada dilanda banjir.
PPA itu diwujudkan di Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang, Johor dan Sabah sebagai langkah awal menghadapi kemungkinan sepanjang SPM berlangsung ketika Monsun Timur Laut (MTL).
Di Johor, seramai 49,980 calon SPM 2024 menduduki peperiksaan di 376 pusat di negeri ini.