Banjir: Detik cemas tiga beranak terperangkap dalam kenderaan
- Admin UKK
- Berita
Kuching : Bomba menyelamatkan pasangan suami isteri bersama bayi berusia empat bulan selepas kenderaan dinaiki terperangkap banjir di Jalan Lukut - Penyulau di Kanowit Kanowit, Sibu, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.15 pagi.
Beliau berkata, dua anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit diarah ke lokasi yang terletak 30 kilometer dari balai sejurus menerima panggilan itu.
"Setibanya di lokasi kejadian jam 6.50 pagi, didapati sebuah kenderaan terperangkap di dalam banjir dan anggota menggunakan jaket keselamatan bergerak ke lokasi mangsa yang dianggarkan dalam jarak 130 meter.
"Anggota kemudian meredah air dengan kedalaman kira-kira 1.5 meter dan berjaya membawa keluar tiga mangsa ke tempat selamat," katanya.
Menurutnya, mangsa dikenali sebagai Mohd Syaiful Ibrahim, 41 dan isterinya, Suria Rosli, 29, serta bayi perempuan mereka berusia empat bulan, Aliana Afisya.
Menurutnya, ketika kejadian keluarga terbabit dalam perjalanan dari Sibu ke Kanowit untuk menghantar sayur ke pasar.
Difahamkan, ketika meredah banjir, kenderaan mereka terhenti dan kemudian enjin gagal dihidupkan.
Banjir yang melanda kawasan rendah sepanjang tebing Sungai Batang Rajang hari ini, berlaku akibat limpahan air sungai itu apabila berlaku pertembungan air pasang besar dengan hujan lebat di hulu sungai.