PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Penduduk sedia hadapi banjir kedua

Penduduk sedia hadapi banjir kedua

Penduduk yang tinggal di kawasan rendah di daerah ini bersiap sedia menghadapi banjir kali kedua yang dijangka berlaku berikutan hujan berterusan sejak malam kelmarin.

Sekiranya hujan terus berlarutan, beberapa kampung dan taman perumahan yang terletak berhampiran dengan Sungai Belat, Sungai Seri Damai dan Sungai Jaya Gading diancam banjir.

Penduduk Kampung Sungai Belat, Jalan Kuantan-pekan, Maznah Sulaiman, 71, seolah tidak lengkap sekiranya tidak berpeluang bertemu dengan banjir setiap tahun yang berakhir dengan episod kami sekeluarga terpaksa berpindah.

Katanya, kedudukan rumah yang terlalu hampir dengan Sungai Belat menjadi antara faktor banjir setiap tahun.

Faktor hujan lebat secara berterusan dan fenomena air pasang besar turut menyebabkan banjir berlaku hingga memaksa penduduk setempat berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang.

“Awal bulan ini banjir dan tidak mustahil berlaku sekali lagi selepas hujan berterusan sejak malam tadi. Paras air Sungai Belat sudah mula naik.

“Belum sempat berkemas barangan dalam rumah selepas banjir sebelum ini, banjir dijangka sekali lagi berlaku. Inilah nasib penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan hampir dengan Sungai Belat,” katanya, di sini semalam.

Sejak lebih 50 tahun tinggal di Kampung Sungai Belat, hampir setiap tahun berhadapan bencana banjir sekali hingga dua kali, sudah menjadi lumrah rumah ditenggelami air pada akhir tahun.

Maznah berkata, disebabkan setiap tahun rumahnya ditenggelami banjir menyebabkan dia sekeluarga tidak lagi berminat menyediakan perabot dan barangan tertentu kerana pasti rosak apabila ditenggelami air.

Kelmarin, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan banjir akan berlaku di tiga daerah di Pahang susulan amaran hujan berterusan tahap waspada bermula semalam dan hari ini.

Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) meramalkan banjir membabitkan Kuantan, Pekan dan Rompin.

JPS memaklumkan hujan berterusan tahap waspada dijangka membabitkan daerah Kuantan yang mengakibatkan limpahan aliran di Lembangan Sungai Pahang, Lembangan Sungai Kuantan, Lembangan Sungai Cherating dan Lembangan Sungai Ular.

“Lembangan Sungai Pahang itu meliputi Sungai Lepar, Alur Sungai Belat, Parit Chendering, Parit Jawa, Parit Rangin, Sungai Galing, Sungai Jelai, Sungai Kenau, Sungai Lepar, Sungai Penor, Sungai Pinang, Sungai Soi dan Sungai Terus.

“Lembangan Sungai Kuantan membabitkan Sungai Lepar, Sungai Penor, Sungai Rangin, Sungai Tiram dan Sungai Kenau,” katanya.

Di Kuala Lumpur, BERNAMA melaporkan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diramal berlaku banjir di Kelantan dan Pahang dua selama dua hari bermula semalam susulan amaran hujan berterusan.

Ramalan awal banjir dikeluarkan pada 2 petang semalam, JPS memaklumkan 10 daripada 11 jajahan di Kelantan dijangka terlibat iaitu Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Pasir Puteh, Bachok, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai, Jeli dan Gua Musang.

Pemantauan berterusan

Banjir juga diramal melanda Pahang membabitkan lima daerah iaitu Kuantan, Pekan, Rompin, Jerantut dan Maran.

“JPS akan membuat pemantauan berterusan dan mengemas kini hebahan amaran banjir sekiranya hujan yang signifikan terus berlaku di lembangan sungai itu.

“Banjir diramalkan berlaku lebih awal atau lewat daripada tarikh yang dijangkakan,” kata kenyataan itu.

Di Tanah Merah, seramai 26 mangsa membabitkan sembilan keluarga dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) di sini, petang semalam.

Semua mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Lawang dan SK Kelewek selepas

kediaman mereka dinaiki air susulan hujan lebat sejak pagi semalam.

Berdasarkan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) semua mangsa yang dipindahkan itu termasuk empat kanak-kanak.

Berdasarkan publicinfobanjir. water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah melepasi paras amaran dengan bacaan 23.19 meter (m).

Di Kuala Krai, hujan lebat sejak pagi semalam menyebabkan runtuhan tanah di lereng bukit yang menghempap bahagian hadapan sebuah rumah di Kampung Nganga, di sini, tengah hari semalam.

Dalam kejadian jam 1.40 tengah hari itu bagaimanapun tidak membabitkan mangsa.

Sementara itu, Malaysian Relief Agency (MRA) menyalurkan bantuan persediaan awal banjir kepada penduduk Kampung Peta, Mersing yang berhampiran dengan Taman Negara Endaurompin, Johor, Isnin lalu.

Bantuan kecemasan itu membabitkan 260 bungkusan makanan sedia dimakan, satu set peralatan dapur seperti periuk nasi, dapur gas dan cerek air dan 50 set survival kit.

Langkah itu diambil bagi memastikan penduduk kampung bersedia menghadapi musim tengkujuh yang sering mengakibatkan banjir.

Penyerahan bantuan itu berlangsung semasa lawatan rasmi Presiden MRA, Dr Mohd Daud Sulaiman ke Sekolah Rimba di kampung berkenaan.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search