Pekebun rugi lebih RM50,000 semaian timun, terung musnah akibat banjir
- Admin UKK
- Berita
Raub: Kerugian lebih RM50,000 ditanggung seorang pekebun selepas lebih 7,000 beg semaian tanaman timun dan terung fertigasi yang diusahakan di Kampung Kuala Dong, dekat sini musnah dibawa arus deras banjir, Ahad lalu.
Syarizal Azizan, 43, berkata tanaman terung berumur tiga minggu musnah dibawa arus deras dengan paras air kira-kira 1.82 meter.
Menurutnya, turut musnah sebanyak 2,500 tanaman timun bergantung berumur 14 hari musnah selepas dilanda banjir kira-kira 1.2 meter.
"Sebanyak 1,500 beg semaian yang sedia untuk ditanam dengan pokok peria minggu depan turut musnah dibawa arus deras yang turut membawa kayu serta menumbangkan tiang.
"Kejadian banjir kali ini di luar jangkaan apabila hujan lebat beberapa jam menyebabkan air naik pada awal pagi bersama arus deras seolah kepala air," katanya, di sini semalam.
Beliau berkata, rumahnya yang terletak kira-kira 200 meter dari kawasan kebun turut ditenggelami banjir dan kali terakhir banjir adalah pada 2021.
Syarizal yang berpengalaman lebih lapan tahun mengusahakan tanaman sayur fertigasi berkata, kedudukan kawasan kebun miliknya dengan Sungai Dong selain hujan lebat berterusan menjadi antara faktor kejadian banjir besar dan arus deras Ahad lalu.
Bagi Ahmad Sazwan Dzulkifli, 35, dia kerugian lebih RM15,000 selepas 3,000 pokok timun fertigasi berumur 20 hari yang diusahakan di Kampung Durian Sebatang musnah ditenggelami banjir.
"Saya tidak mampu berbuat apa-apa apabila air mula naik awal pagi, banjir kali ini agak berbeza berbanding sebelum ini kerana arus air begitu deras yang membawa bersama kayu.
"Saya reda dengan apa yang berlaku, impian untuk memungut hasil tidak lama lagi tidak menjadi kenyataan apabila pokok musnah ditenggelami banjir," katanya.
Sementara itu, Pegawai Pertanian Daerah Raub, Raja Mohamad Farhan Hashim berkata, kebun sayur di Mukim Gali, Dong dan Ulu Dong terjejas selepas ditenggelami banjir Ahad lalu.
"Pekebun yang tanaman mereka musnah ditenggelami banjir boleh memohon bantuan bencana yang disediakan kerajaan. Dalam tempoh 14 hari mereka perlu menghantar borang bancian kerosakan akibat bencana.
"Kita akan melawat setiap kebun sayur yang ditenggelami banjir sebelum permohonan mereka disokong untuk mendapatkan bantuan imput pertanian," katanya.