Siap siaga hadapi gelombang kedua banjir mulai Ahad
- Admin UKK
- Berita
Putrajaya: Jawatankuasa Pengurusan Bencana peringkat negeri dan daerah diarahkan bersiapsiaga menghadapi gelombang kedua banjir yang dijangka melanda Pahang dan Johor, bermula Ahad hingga 14 Disember depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerajaan MADANI kini memberikan tumpuan sepenuhnya dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan berikutan gelombang kedua banjir itu.
“Saya mahu Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui setiap jabatan, agensi dan anak syarikat untuk mengambil inisiatif sesuai menghadapi banjir serta mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
“Saya semua mahu Ketua Setiausaha (KSU), Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) menggerakkan setiap agensi dan bahagian untuk mengambil inisiatif yang sesuai bagi membantu mangsa banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KKDW di Dewan Sri Lestari di sini, semalam.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, banjir yang melanda
Pantai Timur, khususnya Kelantan dan Terengganu adalah lebih teruk berbanding bencana sama pada 2014.
“Banjir tahun ini sangat luar biasa dan lebih teruk dari 2014 dengan 1 Disember lalu menjadi kemuncak bencana yang membabitkan kira-kira 153,000 mangsa daripada 45,000 keluarga.
“Namun, kita bersyukur kerana sehingga kini hanya tinggal kira-kira 60,000 yang masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya.
Sementara itu, pada sidang media, Ahmad Zahid berkata, tahap kesiapsiagaan negara sangat tinggi berikutan sebelum ini agensi mengadakan simulasi untuk kesiapsiagaan itu sejak sebelum gelombang pertama.
“Kita harap Pahang dan Johor bersiap kerana luruan hujan akan berlaku di dua negeri negeri itu dan air sungai dari Terengganu akan mengalir ke Pahang dan Johor.
“Jadi, untuk kawasan luar bandar, kita sudah menubuhkan skuad insan yang akan membantu atas kapasiti badan sukarela termasuk membantu Orang Asli untuk menggerakkan skuad ke semua kawasan terjejas. Malah di kawasan FELDA, FELCRA dan RISDA serta Lembaga Kemajuan juga skuad digerakkan,” katanya.
Beliau berkata, beberapa cadangan usaha akan dilaksanakan di peringkat kementerian, iaitu mengambil langkah pertama memperhalusi dan menilai rumah di kawasan desa yang rosak akibat banjir, termasuk menyediakan rumah baharu atau bantuan membaik pulih kediaman yang terjejas.
Pulihkan kawasan terkesan
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata peruntukan segera yang dimohon Perikatan Nasional (PN) bagi Ahli Parlimen pembangkang di kawasan terjejas banjir menyalurkan bantuan kepada mangsa musibah akan diputuskan selepas bencana berakhir.
Katanya, ketika ini kerajaan mahu menumpukan dahulu perkara berkaitan pemulihan di kawasan yang terkesan banjir.
Beliau berkata, ia termasuk kerosakan infrastruktur, kemudahan serta bangunan yang membabitkan keperluan orang ramai.
“Ia tidak membabitkan semua kawasan tetapi kita akan proses untuk melihat keperluan itu.
“(Permintaan peruntukan bagi kawasan banjir)... kita tunggu banjir selesai dahulu, barulah kita putuskan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Peluncuran Digital Putrajaya Exhibition and Conference (DIPEC) 2024 dan Peluncuran Putrajaya Urban Observatory (PUO) di Kuala Lumpur, semalam.
Kelmarin, media melaporkan Ahli Parlimen pembangkang memohon kerajaan mempertimbangkan peruntukan segera sebanyak RM1 juta kepada kawasan pembangkang yang terjejas banjir, bagi tujuan membantu rakyat yang menjadi mangsa bencana itu.
Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, berkata pihaknya sudah membuat permohonan termasuk melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) berhubung hasrat berkenaan.