PM hargai bantuan ringan beban mangsa bah
- Admin UKK
- Berita
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang bersama-sama menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.
Beliau menujukan ucapan terima kasih kepada rakyat berbilang kaum dan agama, agensi dan penjawat awam, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pasukan keselamatan, sektor swasta serta pertubuhan masyarakat sivil, semuanya bertugas secara sukarela dan bertanggungjawab dalam tugasan.
Justeru, katanya, kelebihan itu perlu dihebah bagi menonjolkan semangat perpaduan yang menjadi keunikan Malaysia, yang tiada pada kebanyakan negara lain.
“Saya lontarkan sedikit pandangan, kalangan pegawai dan penjawat awam bertugas secara sukarela serta bertanggungjawab dalam menyempurnakan tugas. Tentera, bomba, APM (Angkatan Pertahanan Awam), ATM (Angkatan Tentera Malaysia), semua sekali 80,000 orang.
“Kemudian kita ada masyarakat sivil dan rakan GLC, bank, syarikat swasta dan individu. Macam berlaku di Kelantan, kawan saya maklum, dia bukan (wakil) persatuan, dia peniaga Cina sederhana, dia kumpul sekitar 10 lori besar barang makanan dan hantar (kepada mangsa banjir),” katanya.
Berucap pada Majlis Pengumpulan Dana Ihsan MADANI untuk mangsa banjir di Kompleks Seri Perdana, di sini, Anwar berkata, ia adalah cerita positif di Malaysia apabila rakyat daripada semua kaum dan agama bersama-sama mengambil tanggungjawab.
“Ada masalah, rakyat turun (bantu), ini yang kita patut bantu hebahkan kerana ini berita positif. Kadang-kadang (berita) pergelutan soal kaum, soal agama, perselisihan, tetapi ini cerita yang sangat positif. Saya lihat perkembangan ini, banyak negara tak boleh macam itu,” katanya.
Di pihak kerajaan, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, berkata persiapan dan kesiapsiagaan menghadapi banjir diuruskan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara,
bermula sekitar dua hingga tiga bulan lebih awal sebelum bencana.
Namun, beliau mengakui, segala perancangan dirangka jawatankuasa itu yang diketuai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku pengerusi, ada yang tidak sempurna.
“Tentunya tidak sempurna, tetapi setidak-tidaknya kita akui sesuatu usaha yang bersungguh-sungguh. Bagi yang turun ke bawah, boleh lihat dedikasi penjawat awam kita, termasuk juga masyarakat sivil dan peniagapeniaga yang begitu baik.
“Tentulah kita tak boleh katakan (sebut) semua (pihak yang membantu), tetapi sebahagian besar yang diperhatikan, laporan sangat membanggakan.
“Bila saya usulkan sektor swasta juga terlibat, saya tahu memang sudah ada ambil ikhtibar,” katanya.
Kekuatan luar biasa rakyat
Anwar yang turut menzahirkan penghargaan sama ketika membentangkan Rang Undangundang (RUU) Perbekalan 2025 bacaan kedua di Dewan Negara sebelumnya, berkata bantuan swasta dan korporat di samping kerajaan Persekutuan dan negeri, pihak berkuasa dan jentera kerajaan, menunjukkan kekuatan luar biasa rakyat untuk bersama membantu menyelesaikan masalah.
“Saya rasa mesej ini penting dan jelas kepada rakyat bahawa kita ini kerja berpasukan dan komitmen itu menyeluruh dalam kalangan semua masyarakat, semua kaum. Inilah keunikan yang ada pada Malaysia,” katanya.
Setakat Oktober lalu, katanya, GLC seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Petronas, Khazanah Nasional melalui Yayasan Hasanah dan Pharmaniaga telah menyalurkan bantuan lebih RM10 juta.
“Kita syukur, apabila kita buat seruan kepada sektor korporat untuk turut membantu. Selama ini memang ada Khazanah, bank-bank, selain GLC seperti PNB, Petronas, Yayasan Hasanah dan Pharmaniaga. Sebaik kita umum hasrat, dalam dua hari dapat RM35 juta tanpa apa-apa kempen tambahan.
“Inilah pentingnya kalau kita urus tatakelola dengan baik, tidak punggah kekayaan untuk diri sendiri, peribadi dan untuk kayakan keluarga,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri mempertahankan tindakan Kementerian Pendidikan (KPM) memindahkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang terjejas akibat banjir ke asrama sementara, yang disifatkan beliau langkah tepat.
“Untuk keputusan KPM meneruskan peperiksaan (SPM), pembangkang cuba untuk eksploitasi isu. Kita berdepan isu ini untuk tempoh berdekad, tidak pernah menangguhkan peperiksaan.
“Kita mesti bersyukur dan berterima kasih kepada semua jentera, termasuk polis, tentera, bomba, APM (Angkatan Pertahanan Malaysia) dan lain-lain yang terlibat (dengan pemindahan pelajar terjejas),” katanya.
Berdasarkan rekod sebelum ini, kata Perdana Menteri, ada calon SPM terjejas banjir yang ditempatkan di asrama berjaya memperoleh keputusan peperiksaan lebih baik kerana ada bimbingan guru dan ada rakanrakan bersama mengulangkaji.
“Saya hanya katakan idea (pindahkan calon ke asrama, tidak tangguh SPM) tidaklah buruk, tapi sudah tentu buku dan pen rosak yang menjadi isu besar dibangkitkan pembangkang. Ini peperiksaan lisan, tidak perlukan buku dan pen,” katanya.