Sudah kenal pasti 449 ‘hotspot’ banjir
- Admin UKK
- Berita
Kuala Terengganu:
Sebanyak 449 lokasi hotspot banjir di Terengganu dikenal pasti sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL), kata Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu (Pengurusan Bencana), Hanafiah Mat.
Menurutnya, pengenalpastian lokasi itu oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membolehkan persediaan dan awal dilakukan.
Katanya, kerajaan menjangkakan terdapat lima hingga tujuh luruan monsun yang membawa episod hujan lebat dan berterusan terutama di Pantai Timur Semenanjung.
“Sebanyak 97 lokasi di Kuala Terengganu, diikuti Hulu Terengganu (66 kawasan), Setiu (58 kawasan), Dungun (56) kawasan), Kemaman (55 kawasan), Kuala Nerus (48 kawasan), Marang (35 kawasan) dan Besut (34 kawasan),” katanya.
Hanafiah menjawab soalan dikemukakan Azbi Salleh (Kuala Besut-PAS) mengenai persiapan kerajaan negeri menghadapi musim tengkujuh di persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu di sini, semalam.
Katanya, semua agensi kerajaan pusat dan negeri sudah diminta untuk memastikan aset, logistik dan sistem amaran awal bencana berfungsi dengan baik.
Katanya, beberapa pelan tindakan sudah dibincang menerusi Mesyuarat Penyelarasan Persediaan Menghadapi MTL.
“Kawasan rendah dan berhampiran muara sungai di negeri ini turut dikenal pasti berisiko berlaku limpahan air sekiranya fenomena air pasang besar berserta hujan lebat,” katanya.