JPBNS sentiasa bersedia menghadapi musim Monsun Timur Laut: Uggah
- Admin UKK
- Berita
KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) sentiasa bersedia menghadapi musim Monsun Timur Laut dengan kekuatan 9,817 sumber manusia dibantu 295 aset darat, 211 aset laut atau sungai, 20 aset udara dan 269 aset sokongan lain.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata JPBNS akan dibantu agensi-agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
"Dari segi bekalan bantuan bencana, Jabatan Kebajikan Masyarakat juga telah bersedia dalam memastikan kapasiti tersebut mencukupi di semua depoh simpanan, setor pejabat dan di pangkalan hadapan.
"Sebanyak 660 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang boleh menempatkan seramai 160,719 mangsa bencana juga siap sedia untuk digunakan dan dibuka pada bila-bila masa," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan Mesyuarat JPBNS (Persediaan Bagi Menghadapi Monson Timur Laut 2024/2025) yang diadakan pada 8 Oktober 2024 bagi membincangkan persiapan untuk menghadapi Monsun Timur Laut 2024/2025 yang dijangka bermula pada awal bulan November 2024 hingga Mac 2025.
Menurutnya semasa Monsun Timur Laur hujan berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berkedudukan rendah dan juga kawasan yang kerap berlaku banjir.
"Sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan kejadian air pasang, kejadian banjir akan menjadi lebih buruk.
“Menurut ramalan Jabatan Meteorologi, hujan lebat bagi Sarawak dijangka akan bermula pada Disember 2024 hingga Februari 2025 dan dijangka akan mengalami taburan hujan paling tinggi pada bulan Januari 2025.
Uggah yang juga pengerusi JPBNS berkata selain itu sebanyak 332 Projek Pemuliharaan Sungai turut dilaksanakan di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Sarawak bagi membaiki dan membersihkan sistem saliran dan perparitan bagi memastikan aliran air yang lancar, mengurangkan risiko banjir serta meningkatkan kualiti ekosistem sungai.
"Selaku pengerusi JPBN, saya telah mengarahkan semua agensi di peringkat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) supaya sentiasa bersedia dari segi aset dan logistik di bawah tanggungjawab masing-masing dalam menghadapi segala kemungkinan kejadian bencana.
"Selain itu, Residen Bahagian dan Pegawai Daerah turut diarahkan agar bilik gerakan banjir di semua bahagian dan daerah dapat diaktifkan pada bila-bila masa diperlukan bagi memastikan respons yang cekap dan efisien diberikan kepada masyarakat dalam menghadapi situasi banjir," ujarnya.
Beliau yakin dengan kerjasama jabatan dan agensi berkaitan serta memastikan jentera pengurusan bencana di semua peringkat dapat berjalan lancar.
Masyarakat juga katanya, perlu membuat persediaan awal sekiranya diarahkan untuk berpindah ke tempat yang selamat semasa berlaku kejadian bencana dan diingatkan juga supaya menyimpan semua dokumen penting dengan selamat daripada hilang dan musnah akibat bencana.