Monsun Timur Laut diramal mula seminggu lebih awal
- Admin UKK
- Berita
Kerajaan meningkatkan persediaan berdepan risiko banjir susulan peralihan ke Monsun Timur Laut lebih awal iaitu minggu terakhir hujung bulan ini berbanding ramalan pada awal November.
Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi, berkata kerajaan sudah menyelaraskan jentera membabitkan kerjasama dengan jawatankuasa bencana peringkat negeri dan daerah.
Katanya, orang ramai di kawasan berisiko juga dinasihatkan berjaga-jaga dan mengikuti arahan pihak berkuasa jika amaran risiko bencana seperti banjir dikeluarkan.
“Monsun Timur Laut lazimnya pada awal minggu pertama bulan November tetapi disebabkan perubahan cuaca iklim, ada ramalan bahawa Monsun Timur Laut akan datang lebih awal iaitu akhir (bulan ini) atau minggu keempat Oktober ini,” katanya yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP).
Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutupan Konvensyen Rakan Nadma ‘Malaysia Madani, Siaga Bencana’.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Ambun Dindang meramalkan Monsun Timur Laut dijangka bermula pada November depan dan berterusan hingga Mac 2025, dengan ramalan empat hingga enam episod hujan lebat berterusan sepanjang tempoh itu.
Beliau berkata, hujan lebat diramal melanda Kelantan, Terengganu dan Pahang antara November hingga Disember depan.
Bermula Disember hingga Januari 2025, hujan lebat dijangka lebih tertumpu di Johor, Sabah dan Sarawak.