Pesakit, 100 pelancong terkandas banjir di Sabah
- Admin UKK
- Berita
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di daerah ini membantu dua pesakit buah pinggang di Kampung Bawang, Tamparuli di sini, yang perlu menjalani rawatan dialisis selepas kawasan kediaman mereka dinaiki air dan kejadian tanah runtuh akibat banjir, pagi semalam.
Ketua BBP Daerah Tuaran, Mohamad Nor Amit, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada jam 8.34 pagi.
Beliau berkata, sejurus selepas itu sepasukan sembilan anggota dikejarkan ke lokasi bersama satu jentera dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Berikutan hujan berterusan yang mengakibatkan banjir dan tanah runtuh di kawasan kediaman mangsa yang juga warga emas, keluarga mereka mendapatkan bantuan pihak bomba untuk membantu.
“Anggota bomba memapah dan mengangkat mangsa masingmasing lelaki dan wanita berusia 60-an melalui kawasan tanah runtuh dan banjir sebelum dihantar ke Hospital Tuaran menggunakan EMRS,” katanya.
Mohamad Nor berkata, pihaknya turut memantau sekitar lokasi bagi memantau keselamatan penduduk.
“Ketika ini cuaca hujan tidak menentu dan pasukan bomba sentiasa bersedia untuk memindahkan
penduduk sekiranya keadaan tidak terkawal. Operasi berkenaan ditamatkan jam 9.55 pagi,” katanya.
Tanah runtuh, pokok tumbang
Sementara itu, lebih 100 pelancong luar dan tempatan yang bercuti hujung minggu di pusat pelancongan di Kiulu, terkandas apabila laluan dari daerah itu terjejas tanah runtuh berpunca hujan lebat berlaku sejak Ahad.
Kejadian itu menyebabkan pelancong terbabit gagal keluar dari Kiulu untuk kembali ke destinasi mereka kerana ketika ini Jalan Kiulu-tamparuli dibersihkan kontraktor Jabatan Kerja Raya (JKR).
Tinjauan mendapati perjalanan sepatutnya kurang sejam dari Kiulu untuk ke Tamparuli,
menjadi lebih lapan jam apabila sebahagian besar jalan terjejas akibat tanah runtuh dan pokok tumbang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai, bersyukur semua pelancong luar dan pelawat tempatan yang berada di Kiulu selamat keluar selepas laluan dibuka semula.
“Kejayaan memulihkan laluan dari Kiulu ke Tamparuli itu adalah hasil kerjasama serta kecekapan semua pihak yang bertungkus-lumus melakukan tanpa mengira suasana memastikan keselesaan pengguna.
“Dalam keadaan cuaca tidak menentu, saya mengingatkan penduduk Kiulu dan pengunjung destinasi pelancongan luar bandar sentiasa berhati-hati, menjaga diri dan kekal selamat,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, laluan keluar masuk dari Tamparuli menuju Kiulu kembali pulih selepas kesan runtuhan tanah dan pokok tumbang pada laluan itu dibersihkan.
Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan jumlah mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 464 orang daripada 140 keluarga yang berada di empat pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga pagi semalam, berbanding 328 orang daripada 105 keluarga kelmarin.
Katanya, PPS Dewan Kebudayaan Penampang menunjukkan peningkatan mangsa, iaitu seramai 279 orang daripada 93 keluarga berbanding 165 orang daripada 67 keluarga, kelmarin.
“Jumlah mangsa di PPS di Dewan Sri Putatan meningkat kepada 138 mangsa daripada 34 keluarga berbanding 116 mangsa daripada 25 keluarga,” menurut kenyataan itu.
Jumlah mangsa di dua PPS Tuaran pula kekal, iaitu 29 mangsa daripada lapan keluarga masih berada di PPS Dewan Balai Raya Kampung Tutu Selupoh, Tuaran manakala 18 orang daripada lima keluarga ditempatkan di PPS Dewan Balai Raya Kampung Bontoi, dekat Tamparuli.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dalam kenyataan memaklumkan Jalan Lintas Luagan, Sipitang di Kilometer (KM) 0.5 hingga KM1.55 tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan kerana air sungai melimpah disebabkan hujan berterusan di hulu.