NADMA luluskan peruntukan RM14 juta urus bencana
- Admin UKK
- Berita
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) meluluskan baki peruntukan Monsun Timur Laut (MTL) 2023/2024 Sabah sebanyak RM14 juta bagi pemberian bantuan bencana dan pengurusan pengoperasian bencana di luar musim Monsun Timur Laut di negeri berkenaan.
NADMA dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima permohonan berkenaan daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah.
“Jumlah itu termasuk pemberian Bantuan Wang Ihsan sebanyak RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah yang terkesan dengan banjir terbabit serta sumbangan Bantuan Wang Ihsan Kematian sebanyak RM10,000 diberikan kepada waris mangsa yang meninggal dunia akibat bencana banjir,” katanya.
Mengulas lanjut, NADMA berkata, Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) juga beroperasi 24 jam setiap hari untuk memantau dan menyediakan laporan terkini situasi bencana di negeri berkenaan.
“Amaran bencana seperti amaran hujan berterusan dan amaran banjir akan disampaikan kepada semua agensi tindak balas berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Ia termasuk kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bertindak sebagai sekretariat kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN),” katanya.
Katanya, kesiapsiagaan menghadapi bencana seperti banjir di daerah terbabit dikoordinasikan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah seperti pengaktifan PPS, penyediaan dan keperluan bilik gerakan dan stor simpanan.
“JPBD juga bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memastikan keperluan mangsa di pusat penempatan diperoleh sewajarnya.
“Orang ramai dinasihatkan agar berwaspada dengan keadaan cuaca semasa dan sentiasa ambil langkah berjaga-jaga, peka dengan pengumuman melalui media massa serta menunggu arahan sekiranya diarahkan berpindah.
“Maklumat dan amaran cuaca terkini boleh diperoleh menerusi pelbagai medium iaitu media elektronik, media sosial, laman sesawang rasmi, aplikasi mycuaca dan Jabatan Meteorologi (Metmalaysia) Hotline di talian 1-30022-1638,” katanya.