PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Pingat Persekutuan khusus untuk anggota penyelamat

PUTRAJAYA: Kerajaan akan meneliti syor untuk mewartakan pingat khidmat khusus anggota penyelamat yang terbabit dalam misi kemanusiaan sebagai Pingat Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata secara prinsipnya perkara itu sudah dipersetujui dan ketika ini pihak yang berkenaan sedang memuktamadkan prosesnya dengan Bahagian Istiadat, Istana Negara.

Katanya, selepas selesai, anugerah Pingat Khas ini akan dinaik taraf sebagai Pingat Persekutuan bagi memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada anggota kerajaan khususnya pasukan beruniform yang terbabit dengan mana-mana misi menyelamat ditetapkan kerajaan.

Katanya, pada masa ini Pingat Khas yang diberikan hanya sekadar di peringkat dalaman yang diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

"Secara dasarnya cadangan ini telah dipersetujui di peringkat Kabinet dan bagi permulaan kita menganugerahkan Pingat Khas ini terlebih dahulu kepada anggota yang terlibat," katanya kepada pemberita pada Majlis Anugerah Pingat Khas Misi Bantuan Kemanusiaan Dan Bencana, di sini hari ini.

Seramai 250 anggota yang terbabit dalam misi itu di Gaziantep,Turkiye, Februari lalu menerima Pingat Khas.

Sebelum ini Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan supaya semua petugas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang berkhidmat dalam misi menyelamat mangsa gempa bumi Turkiye dan Syria diberikan elaun khas, sijil penghargaan serta pingat khidmat khusus sebagai menghargai pengorbanan serta komitmen petugas terbabit.

Anggota yang terbabit dalam misi itu terdiri daripada SMART, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Armizan berkata, anugerah julung kali itu menjadi satu pembaharuan dilakukan Kerajaan Perpaduan.

"Kita juga bercadang dan sedang mengkaji untuk memberikan pengiktirafan kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit dalam misi kemanusiaan," katanya.-BERITA HARIAN

Isu jalan putus akibat banjir di Chukai selesai

CHUKAI: Masalah jalan terputus sering dihadapi penduduk akibat banjir diselesaikan selepas projek naik taraf jalan Persekutuan menghubungkan Chukai ke Air Putih siap sepenuhnya, April lalu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata projek naik taraf membabitkan kos RM192.8 juta itu dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu bermula Mei 2017.

"Projek ini membabitkan kerja naik taraf jalan sedia ada sepanjang 11.4 kilometer (km) dari persimpangan Tol Chukai Lebuh Raya Pantai Timur (LPT2) ke Jalan Persekutuan di Kemaman dengan piawaian JKR R5 yang lebih lebar.

"Turut dibina sebuah jambatan baharu sepanjang 25 meter (m) di Sungai Tempurung, jambatan tebatan banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sepanjang 313m, serta menaikkan aras jalan kira-kira dua meter tinggi di lokasi banjir," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan penyerahan projek berkenaan daripada JKR Terengganu kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) di sini, hari ini.

 

Alexander berkata, KKR sebelum ini menerima permohonan daripada kerajaan Terengganu untuk menaik taraf dan meninggikan aras jalan berkenaan bagi mengurangkan kesan akibat banjir, selain menyediakan infrastruktur awam yang selesa dan selamat untuk pengguna.

"JKR sentiasa memantau keperluan lebih-lebih lagi di kawasan terkena banjir.

"KKR mempunyai data dan maklumat, jadi langkah yang diambil termasuk selepas kenal pasti keperluan itu, kita cari bagaimana (penyelesaiannya) untuk kerja pembaikan secepat mungkin dengan keutamaan di jalan-jalan Persekutuan," katanya.

Tahun lalu, jelasnya, KKR memperuntukkan lebih RM28 juta bagi projek naik taraf dan baik pulih 68 batang jalan Persekutuan di Terengganu membabitkan kerja pavemen berkala dan tidak berkala.

Projek berkala pavemen meliputi kerja-kerja penurapan jalan dan baik pulih lapisan permukaan jalan seperti resurfacing (penurapan semula), mill and pave (mengisar dan menurap), partial reconstruction (pembinaan semula sebahagian) dan reconstruction (pembinaan semula).

Projek berkala bukan pavemen membabitkan kerja pembaikan, baik pulih, penggantian dan pemasangan baharu semua item bukan pavemen dalam rizab jalan seperti bina baharu longkang konkrit, memasang baharu perabot jalan termasuk papan tanda serta baik pulih struktur dan cerun. -BERITA HARIAN

Previous Next

18 Julai 2023 - Satu Sesi libat urus telah diadakan bersama rakan media bagi memberi ruang kepada pihak media berinteraksi dan mendapatkan komunikasi yang telus dan sahih bersama YB Menteri.

Tujuan utama diadakan sesi libat urus ini adalah bagi menyampaikan secara terus kepada wakil-wakil media yang hadir mengenai situasi semasa Monsun Barat Daya (MBD) tahun 2023 dan kemungkinan El Nino serta langkah-langkah yang telah dan akan diambil Kerajaan dalam menghadapi situasi cuaca panas dan kering yang membawa beberapa risiko meliputi jerebu, kekurangan bekalan air, kesihatan awam dan sekuriti makanan. Sesi ini juga adalah sebagai pengiktirafan peranan yang dimainkan oleh media untuk menyampaikan berita-berita dan maklumat kepada rakyat.

 

Previous Next

Sesi Taklimat Eksekutif kepada YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) berhubung situasi semasa dan tindakan menghadapi Musim Monsun Barat Daya, yang melibatkan 9 agensi berkaitan pengurusan bencana iaitu Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search