11 jam berjuang padam api
- Admin UKK
- Berita
SANDAKAN: Pasukan penyelamat berjuang hampir 11 jam bagi memadam kebakaran yang memusnahkan penempatan atas air di Kampung Bahagia, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, dianggarkan 1,000 rumah tidak kekal musnah sepenuhnya, sekali gus mengakibatkan kira-kira 8,000 penduduk hilang tempat tinggal.
Ketua Zon 6 Sandakan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Jasri Ab Jal berkata, seramai 37 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan dan Kinabatangan dikerahkan ke lokasi kejadian.
Jasri berkata, keadaan air laut yang surut menyukarkan pihaknya bagi memadam kebakaran.
“Operasi pemadaman berdepan pelbagai cabaran termasuk laluan sempit dan keadaan air laut surut sukarkan sumber bekalan air.
“Struktur rumah yang rapat selain angin kencang menyebabkan api merebak dengan cepat.
“Selain itu, keadaan air laut yang surut menyukarkan usaha mendapatkan sumber air terbuka. Bagaimanapun kita berjaya padamkan kebakaran pukul 1 petang (semalam),” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengenai punca kejadian, pihak forensik masih menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian ini.
“Maklumat awal yang penduduk beritahu adalah akibat kecuaian penduduk. Tapi tidak boleh disahkan lagi lah. Siasatan terperinci perlu juga dijalankan. Ambil masa juga untuk dapat punca sebenar kejadian.
“Pihak forensik bomba dari Kota Kinabalu sedang menjalankan siasatan. Sebarang maklumat akan dimaklumkan,” katanya. – UTUSAN
PETALING JAYA – Paras air sungai di beberapa kawasan di Selangor dilaporkan meningkat susulan hujan berterusan sejak petang tadi.
Di Kuala Selangor, paras air di Pintu Air Ijok pula mencatatkan bacaan 3.34 meter, melebihi paras amaran 3.1 meter, namun trend dilaporkan tidak berubah.
Sementara itu di Klang, bacaan paras air di Taman Sri Muda berada pada tahap normal iaitu 0.98 meter, namun menunjukkan trend menaik.
Dalam perkembangan berkaitan, siren amaran banjir di Taman Sri Muda diaktifkan pada pukul 5.06 petang, manakala di Bukit Rimau, isyarat bahaya dilaporkan telah berakhir pada pukul 5.13 petang.
Bagaimanapun, di Gombak, stesen Sungai Choh mencatatkan isyarat bahaya bermula pukul 5 petang. – KOSMO! ONLINE
SHAH ALAM: Selangor akan menjalin persefahaman dengan pakar dari luar Belanda bagi membantu mengatasi isu banjir di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri sememangnya berhubung dengan pihak itu sejak setahun lalu akan datang pada Mei ini bagi menandatangani persefahaman dengan Kementerian Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra).
“Mungkin selepas Kerajaan Persekutuan, kita akan juga menjalin persefahaman sama sebagaimana geran yang diberikan nanti,” katanya ketika ditemui pada majlis Tautan Muhibbah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) di sini, hari ini.
Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sekali lagi menzahirkan teguran terhadap kerajaan negeri berhubung isu banjir yang masih gagal ditangani secara berkesan meskipun pelbagai nasihat diberikan sebelum ini.
Titah baginda, isu banjir berulang kali dibangkitkan namun masih berlaku terutama di kawasan perumahan di daerah-daerah negeri ini sehingga menyusahkan rakyat.
Sultan Sharafuddin menegaskan pernah menasihatkan kerajaan negeri merujuk pakar luar negara terutama Belanda bagi mendapatkan idea terbaik mengatasi masalah itu namun tidak dipeduli dan tidak diambil berat ibarat ‘mencurah air ke daun keladi’.
Mengulas lanjut, kata Amirudin, beliau menjunjung kasih titah baginda dan perlu mempercepatkan projek-projek berkaitan.
“Banyak yang menunjukkan peningkatan terutama ketika insiden banjir tahun lalu dengan jumlah mangsa berkurang dan banyak kawasan tidak dinaiki air. Namun, gesaan baginda amat dijunjung kerana kita perlu mempercepatkan
projek berkaitan kerana ada sebahagiannya amat teknikal dan tidak boleh bercampur,” ujarnya. – UTUSAN
SHAH ALAM – Limpahan air Sungai Damansara mengakibatkan sebahagian kawasan di pusat perniagaan Seksyen 13 dan Taman Tun Dr. Ismail Jaya (TTDI Jaya) di sini, turut dilanda banjir kilat.
Paras air setinggi 0.4 meter (m) itu turut menyebabkan kesesakan di sekitar kawasan berkenaan terutama Jalan Opera, Jalan Lembing dan Jalan Renang.
Pengarah Jabatan Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Mohd. Fauzi Aziz Maamor berkata, banjir sejak petang tadi itu susulan hujan lebat di bahagian hulu Sungai Damansara.
Beliau berkata, pihaknya telah menggerakkan Skuad Pantas dan Seksyen Saliran bagi operasi mengepam air di lokasi terjejas.
“Limpahan air sungai itu menyebabkan banjir di sekitar kawasan pusat perniagaan di Jalan Opera dan MBSA menempatkan pam mudah alih bagi mengeluarkan air.
“Banjir di Seksyen 13 berpunca aliran berlebihan dan kedua-dua lokasi itu dinaiki air bermula kira-kira pukul 6 petang,” katanya ketika dihubungi malam ini. – KOSMO! ONLINE
Kerja mitigasi TTDI capai 50 peratus
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Kerja mitigasi atau pemulihan sementara di lokasi tebing runtuh dan banjir lumpur di Jalan Abang Haji Openg, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) kini mencapai 50 peratus dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh yang ditetapkan.
Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan), Datuk Ir. Ibrahim Esa berkata, kerja-kerja itu melibatkan pemasangan konkrit penghadang dan beberapa langkah kecemasan lain bagi menahan pergerakan tanah ke jalan awam.
“Setakat ini sebanyak 160 konkrit penghadang telah disusun semula di lokasi terjejas dan jumlah itu akan ditambah kepada kira-kira 200 unit bagi memperkukuh benteng penahan sementara,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di lokasi semalam.
Menurutnya, JKR telah mengarahkan pihak kontraktor melaksanakan kerja mengorek takungan bagi kolam tadahan sementara di bahagian atas sebagai langkah sementara bagi mengurangkan limpahan air ke kawasan runtuhan.
“Kerja pemulihan semalam sedikit perlahan berikutan hujan lebat menyebabkan keadaan tanah menjadi lembut dan menyukarkan pergerakan jentera di tapak.
“Kontraktor telah diarahkan menambah jentera bagi mempercepat proses pemulihan dan memastikan sasaran dua hari dapat dicapai,” katanya.
Ibrahim berkata, JKR menempatkan petugas secara berterusan di lokasi selama 24 jam untuk memantau perkembangan semasa dan bertindak segera jika berlaku sebarang perubahan.
Katanya, pusat operasi juga diwujudkan di tapak selain war room di pejabat bagi membolehkan perbincangan terperinci dibuat dari semasa ke semasa.
Mengulas siasatan awal, beliau berkata, punca utama kejadian dikenal pasti akibat hujan lebat luar jangka yang melebihi keupayaan kolam tadahan sedia ada di tapak pembinaan.
Katanya, walaupun kolam tadahan sementara telah disediakan sebelum ini, jumlah air yang terlalu banyak menyebabkan limpahan berlaku dan memerlukan langkah tambahan diambil segera.
Keselamatan penduduk kekal menjadi keutamaan utama sepanjang operasi pemulihan dan kawalan di kawasan itu.
“Bagi penyelesaian jangka panjang, projek berkenaan sememangnya merangkumi pembinaan kolam tadahan kekal, namun dalam tempoh pembinaan ini, langkah mitigasi sementara perlu terus diperkasa,” katanya. – UTUSAN
