PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Seksyen ICT

Gempa bumi Mindanao: Malaysia sedia hulur bantuan diperlukan – PM

PETALING JAYA – Malaysia bersedia menghulurkan sebarang bantuan yang diperlukan, susulan gempa bumi kuat di Mindanao, Filipina dengan magnitud 7.9 pukul 7.37 pagi tadi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia dan Filipina merupakan sahabat rapat serta rakan dalam ASEAN.

“Saya ingin merakamkan kebimbangan yang mendalam susulan gempa bumi kuat yang melanda kawasan luar pesisir selatan Filipina awal pagi tadi. Ingatan dan doa kami bersama rakyat Filipina.

“Justeru, saya mendoakan keselamatan dan kesejahteraan semua yang terjejas, serta berharap mereka diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi hari-hari yang mencabar ini,” katanya pada hantaran Facebook hari ini.

Anwar berkata, dalam masa sama beliau mengambil maklum kesan dirasai lebih dekat dengan negara ini, apabila gegaran turut dirasakan di beberapa kawasan di Sabah.

“Saya memberi jaminan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa kerajaan sedang memantau situasi ini dengan rapi dan pasukan perkhidmatan kecemasan berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya,” katanya.

Kosmo! melaporkan, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan nasihat tsunami susulan gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 yang berlaku di Mindanao, Filipina pada pukul 7.37 pagi hari ini.

MetMalaysia memaklumkan, gempa bumi itu berlaku pada koordinat 5.7 darjah Utara dan 125.1 darjah Timur dengan kedalaman 50 kilometer.

Menurutnya, pusat gempa terletak kira-kira 747 kilometer ke timur dari Semporna, Sabah. – KOSMO! ONLINE

Indonesia gesa penduduk pantai utara berpindah susulan gempa bumi Filipina

JAKARTA, 8 Jun: Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (BNPB) Indonesia pada Isnin menggesa penduduk berpindah ke kawasan lebih tinggi di pantai utara negara itu yang diancam ombak tsunami berikutan gempa bumi kuat berukuran 7.8 magnitud di selatan Filipina, lapor Xinhua.

Gelombang tsunami kecil dikesan di beberapa stesen pemantauan pantai di utara Indonesia, menurut BNPB dalam satu kenyataan.

Memandangkan gegaran susulan daripada gempa bumi kuat itu, agensi berkenaan menggesa pegawai di wilayah terjejas seperti Sulawesi Utara dan Gorontalo agar segera mengarahkan penduduk supaya sentiasa berwaspada, menjauhi pantai dan berpindah ke tempat yang lebih tinggi dengan teratur.

Gempa bumi kuat di Filipina telah menyebabkan panik dalam kalangan penduduk di beberapa kawasan pantai timur laut Indonesia, lapor media tempatan pada Isnin.

Gegaran itu dirasai di banyak bandar dan kampung, namun tiada laporan mengenai kematian.

Menurut Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina, gempa bumi bermagnitud 7.8 magnitud melanda perairan di selatan Filipina pada pagi Isnin.

Sebagai tindak balas, Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia mengeluarkan amaran tsunami untuk kawasan pantai timur laut negara itu.

 

Baru hari pertama sekolah, dah terima amaran tsunami

PETALING JAYA – Hari pertama sesi persekolahan selepas cuti dua minggu bertukar cemas bagi seorang guru di Sabah apabila menerima amaran tsunami ketika sedang mengajar susulan gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 yang melanda Mindanao, Filipina pagi tadi.

Menerusi perkongsian di Threads, guru menggunakan akaun @wa_scha berkata, dia pada awalnya bersedia untuk kembali menjalani rutin persekolahan selepas cuti panjang, namun situasi berubah apabila merasai gegaran ketika berada di dalam kelas.

“Hari pertama sekolah selepas dua minggu cuti sekolah. Baru nak mula ‘Monday blues’ terus tarik balik, tak jadi nak ‘Monday blues’.

“Tiba-tiba keluar amaran tsunami dan gempa bumi dijangka melanda dekat tempat bertugas. Rasa gegar pening tengah mengajar tadi,” katanya.

Menurutnya, pengalaman merasai gegaran ketika sedang mengendalikan sesi pembelajaran menyebabkan suasana menjadi cemas, terutama apabila amaran tsunami turut dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

“Semoga semua sahabat di kawasan Sabah yang terlibat dilindungi Allah,” tulisnya.

Perkongsian tersebut turut mendapat perhatian ramai pengguna media sosial yang berkongsi pengalaman masing-masing merasai gegaran si Sabah akibat gempa bumi berkenaan.

“Pagi tadi nak pergi kerja, dalam  kereta memang berasa gegar. Ini kawasan Tawau,” kata Maslan. “Tawau terasa betul gegarannya,” kongsi Riyana.

“Sini Kunak rasa gegaran itu, bergegar rumah,” kata Aysah Johan. Terdahulu, siren nasihat tsunami turut kedengaran di Tawau, Sabah yang meminta penduduk berwaspada serta menjauhkan diri dari kawasan pantai dan muara sungai susulan gempa bumi kuat yang berlaku di Mindanao.

Video bunyi siren dan pengumuman amaran itu turut dikongsikan oleh pihak Masjid Al-Kauthar Tawau menerusi Facebook, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat. – KOSMO! ONLINE

Lokasi amaran tsunami di Sabah dalam keadaan baik – Ahmad Zahid

PETALING JAYA – Pemantauan dilaksanakan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di beberapa kawasan persisiran pantai sekitar Sandakan, Sabah, mendapati lokasi terlibat berada dalam keadaan baik, selamat dan terkawal tanpa sebarang kejadian luar biasa dilaporkan setakat ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemantauan kawasan persisiran pantai itu termasuk Taman Harmoni, Kampung Forest, Sim-Sim, Pusat Bandar Sandakan dan Pasir Putih.

“Saya juga mengambil maklum mengenai gegaran yang turut dirasai di beberapa kawasan di Sabah serta amaran awal tsunami yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) sebelum ini.

“Alhamdulillah, amaran tersebut kini telah ditamatkan. Walau bagaimanapun, saya menyeru seluruh rakyat, khususnya di Sabah agar terus berwaspada dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa,” katanya pada hantaran Facebook hari ini.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih atau berita palsu yang boleh mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, Malaysia sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan yang diperlukan kepada Filipina, sebagai sahabat dan rakan ASEAN yang akrab.

“Saya menzahirkan rasa dukacita dan simpati kepada rakyat Filipina susulan kejadian gempa bumi kuat yang melanda wilayah Mindanao pagi tadi.

“Sama-sama kita mendoakan agar semua mangsa dan keluarga yang terkesan diberikan kekuatan serta dipermudahkan segala urusan dalam menghadapi situasi yang sukar ini,” katanya.

Beliau mengajak rakyat Malaysia berdoa supaya mereka yang terkesan di Filipina dan Malaysia sentiasa berada dalam keadaan selamat serta dilindungi daripada sebarang musibah.

Kosmo! melaporkan, MetMalaysia mengeluarkan nasihat tsunami susulan gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 yang berlaku di Mindanao, Filipina pada pukul 7.37 pagi hari ini.

MetMalaysia memaklumkan, gempa bumi itu berlaku pada koordinat 5.7 darjah Utara dan 125.1 darjah Timur dengan kedalaman 50 kilometer.

Menurutnya, pusat gempa terletak kira-kira 747 kilometer ke timur dari Semporna, Sabah. – KOSMO! ONLINE

Agensi kerajaan cepat bertindak susulan gempa bumi kuat Filipina

MANILA: Operasi menyelamat mangsa-mangsa di selatan Fili­pina dilakukan segera selepas gempa bumi melanda pada awal pagi Isnin, meruntuhkan bangunan dan mengorbankan sekurang-kurangnya 19 orang.

Presiden Ferdinand Marcos Jr. telah mengarahkan tindakan segera daripada semua agensi kerajaan berkaitan susulan gempa bumi kuat berukuran 7.8 magnitud yang melanda Maasim pada pagi pukul 7.37 pagi waktu tempatan.

Pusat gempa terletak kira-kira 13 kilometer dari barat daya Gene­ral Santos, dengan kedalaman 12.8km, menurut Institut Vulkanologi dan Seismologi Fi­lipina dalam laporan awal.

Dalam satu kenyataan, Marcos turut mengarahkan penangguhan semua sesi persekolahan di semua peringkat di kawasan yang terjejas di seluruh Minda­nao sehingga diberitahu kelak.

Beliau juga berkata kerajaan sedang mengekalkan penyelarasan rapat dengan pejabat wilayah dan ketua eksekutif tempatan dalam situasi itu.

Marcos juga menegaskan bahawa Pejabat Pertahanan Awam dan Majlis Pengurusan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan sedang menyelaras tindak balas serta memantau usaha di kawasan yang terjejas.

Beliau berkata, Jabatan Kebajikan dan Pembangunan Sosial telah diarahkan untuk menempatkan lebih awal bekalan bantuan serta memastikan pusat pemindahan bersedia untuk digunakan.

Jabatan Kerja Raya dan Lebuh Raya juga telah diletakkan dalam keadaan bersedia untuk menilai kemungkinan kerosakan pada jalan raya, jambatan, infrastruktur kritikal lain, serta membersihkan laluan yang diperlukan untuk operasi menyelamat termasuk bantuan, kata Marcos.

Bekalan elektrik turut terputus dan orang ramai diarahkan berpindah ke kawasan lebih tinggi. Sekurang-kurangnya 134 orang cedera, menurut jurucakap pejabat pertahanan awam.

Gempa bumi itu mencetuskan amaran tsunami di Filipina, Indonesia dan Jepun manakala ombak kecil antara beberapa sentimeter hingga 1.4 meter kemudian direkodkan.

Australia dan New Zealand juga mengeluarkan amaran sebelum menariknya semula Rakaman video dan imej menunjukkan bangunan termasuk restoran musnah menjadi runtuhan

Gempa berlaku ketika permulaan tahun persekolahan baharu di Filipina. Kelas di kawasan terjejas digantung, kata Marcos. – AGENSI

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search