11 jam berjuang padam api
- Admin UKK
- Berita
SANDAKAN: Pasukan penyelamat berjuang hampir 11 jam bagi memadam kebakaran yang memusnahkan penempatan atas air di Kampung Bahagia, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, dianggarkan 1,000 rumah tidak kekal musnah sepenuhnya, sekali gus mengakibatkan kira-kira 8,000 penduduk hilang tempat tinggal.
Ketua Zon 6 Sandakan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Jasri Ab Jal berkata, seramai 37 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan dan Kinabatangan dikerahkan ke lokasi kejadian.
Jasri berkata, keadaan air laut yang surut menyukarkan pihaknya bagi memadam kebakaran.
“Operasi pemadaman berdepan pelbagai cabaran termasuk laluan sempit dan keadaan air laut surut sukarkan sumber bekalan air.
“Struktur rumah yang rapat selain angin kencang menyebabkan api merebak dengan cepat.
“Selain itu, keadaan air laut yang surut menyukarkan usaha mendapatkan sumber air terbuka. Bagaimanapun kita berjaya padamkan kebakaran pukul 1 petang (semalam),” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengenai punca kejadian, pihak forensik masih menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian ini.
“Maklumat awal yang penduduk beritahu adalah akibat kecuaian penduduk. Tapi tidak boleh disahkan lagi lah. Siasatan terperinci perlu juga dijalankan. Ambil masa juga untuk dapat punca sebenar kejadian.
“Pihak forensik bomba dari Kota Kinabalu sedang menjalankan siasatan. Sebarang maklumat akan dimaklumkan,” katanya. – UTUSAN
