PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Seksyen ICT

Kerajaan sokong inisiatif laksana program kesiapsiagaan hadapi bencana

Beaufort: Kerajaan sentiasa menyokong inisiatif pelaksanaan program yang memberi manfaat besar kepada komuniti dalam aspek kesiapsiagaan dan ketahanan menghadapi bencana.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam berkata, dukungan itu adalah bukti komitmen kerajaan bagi memastikan setiap lapisan masyarakat menerima bantuan, pengetahuan, dan latihan yang sewajarnya.

“Kami akan terus menyokong program-program seperti ini yang dapat meningkatkan kesejahteraan dan keselamatan rakyat kita.

“Program ini bukan sahaja menyediakan maklumat berkenaan WASH, tetapi turut memberi latihan praktikal dan peralatan yang diperlukan kepada penduduk setempat.

“Ini selari dengan matlamat untuk membina daya tahan komuniti secara berterusan dan memastikan setiap penduduk dapat bertindak balas dengan lebih efisien dan efektif ketika berhadapan situasi kecemasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Program Pengurangan Risiko Bencana Berteraskan Komuniti 2024 di sini semalam.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, kejayaan program itu adalah hasil daripada kesepaduan antara semua pihak masyarakat, agensi kerajaan, badan-badan bukan kerajaan, dan para sukarelawan.

“Semangat gotong-royong inilah yang akan menjadi asas kepada ketahanan komuniti kita dalam menghadapi pelbagai cabaran, sama ada dalam situasi bencana alam mahupun dalam usaha memperkukuhkan kesejahteraan komuniti pada masa hadapan,” katanya.

Dalam sidang medianya, Ruslan berkata, program itu telah menjadi fokus kepada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan.

“Program itu sangat membantu kepada komuniti kita dimana pihak bulan sabit merah dan agensi kerajaan yang lain telah pun memberi pendedahan ilmu pengetahuan,” katanya.

Terdahulu, program selama dua hari itu telah disertai seramai 100 peserta. – SABAH MEDIA

Ramalan awal banjir di beberapa daerah di Johor bermula esok hingga 23 November

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan amaran banjir yang diramalkan akan berlaku di beberapa kawasan lembangan sungai di negeri Johor bermula esok sehingga 23 November ini.
Kawasan yang terlibat termasuk di daerah Segamat (Lembangan Sungai Batu Pahat dan Lembangan Sungai Muar), Kluang (Lembangan Sungai Johor, Lembangan Sungai Endau dan Lembangan Sungai Benut), Mersing (Lembangan Sungai Mersing dan Lembangan Sungai Tenglu Besar), Kulai (Lembangan Sungai Pontian Besar, Lembangan Sungai Skudai dan Lembangan Sungai Tebrau), menurut JPS dalam satu kenyataan pada Isnin.
Antara kawasan lain yang terlibat ialah beberapa daerah di Kota Tinggi iaitu Lembangan Sungai Rengit, Lembangan Sungai Sepang dan Lembangan Sungai Sedii Besar.
Di daerah Johor Bahru antara yang terlibat termasuk Lembangan Sungai Johor, Lembangan Sungai Pulai, Lembangan Sungai Skudai dan Lembangan Sungai Tebrau.
Setakat jam 4.25 petang Isnin, paras air Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat telah melebihi tahap bahaya (19.95 meter) iaitu pada paras 20.20 meter, Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat 8.26 meter dan Sungai Kesang di Telok Rimba, Tangkak 3.16 meter masih berada pada tahap amaran.
Beberapa kawasan sungai lain menunjukan trend paras air menaik pada tahap waspada iaitu Sungai Tiram di Kampung Bukit Dagang, Johor Bharu 2.12m, Sungai Johor di Kota Tinggi 2.22m.
JPS turut meramalkan banjir berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan dan daerah lain juga diminta untuk mengambil langkah berjaga-jaga.
“Semua penduduk terutamanya kawasan yang dijangka banjir diminta berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa atau agensi pengurusan bencana,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Jabatan Meteologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran waspada melibatkan hujan berterusan di beberapa daerah di Johor bermula Jumaat lalu.
MetMalaysia meramalkan Monsun Timur Laut (MTL) bermula awal November dan berakhir pada hujung Mac 2025 yang menjangkakan episod hujan lebat berlaku di negeri Pantai Timur, Sabah dan Sarawak.
 

Hujan berterusan di Timur, Selatan Semenanjung mulai esok

KUALA LUMPUR – Hujan lebat berterusan dijangka berlaku di Timur, Selatan Semenanjung serta Timur Sabah bermula esok sehingga 23 November ini akibat daripada luruan monsun.

Jabatan Meteorologi (METMalaysia) menerusi kenyataan berkata, cuaca tersebut dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Katanya lagi, dalam masa yang sama angin kencang dan laut bergelora dijangka berlaku di Laut China Selatan.

MeTMalaysia berkata, pihaknya telah mengemaskini Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora bagi perairan Condore dan Reef North berkuat kuasa pada 19 hingga 22 November ini.

Sehubungan itu, jabatan berkenaan menasihatkan orang ramai merujuk laman web dan dan media sosial rasmi MeTMalaysia serta memuat turut aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sah.

“METMalaysia telah mengemaskini amaran Hujan Berterusan dan Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora,” ujarnya.
– MalaysiaGazette

Sembilan negeri diramal hujan lebat malam ini

PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) melaporkan keadaan hujan lebat dan ribut petir sedang berlaku di sembilan negeri malam ini.

Menurut MetMalaysia, amaran cuaca buruk sehingga pukul 7 malam itu melibatkan seluruh kawasan di Pulau Pinang dan Putrajaya.

“Di Perak, amaran cuaca buruk itu melibatkan Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim, manakala di Kelantan pula melibatkan Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang.

“Bagi Pahang, cuaca buruk dijangka tertumpu di Tanah Tinggi Cameron dan Lipis, manakala bagi Selangor melibatkan Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Petaling, Kuala Langat dan Sepang,” katanya.

Dalam pada itu, amaran turut diberikan di Port Dickson, Negeri Sembilan, manakala di Sarawak pula melibatkan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman (Sri Aman), Betong (Pusa dan Betong), Bintulu (Bintulu dan Sebauh), Miri dan Limbang.

Amaran ribut petir juga melibatkan Sabah di Pedalaman (Sipitang, Tenom, Nabawan, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat (Ranau), Tawau dan Sandakan (Tongod dan Telupid). – KOSMO! ONLINE.

 

Malaysia-Belanda tumpu kerjasama laksana projek rintis mitigasi banjir

KUALA LUMPUR: Beberapa projek rintis akan dilaksanakan dalam usaha mempertingkatkan strategi pengurusan banjir dan ketahanan air negara, menerusi kerjasama dengan kerajaan Belanda.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerjasama dua hala dengan negara berkenaan akan menumpukan kepada langkah untuk mengurangkan risiko banjir dan memperkukuh kesiapsiagaan Malaysia terhadap impak perubahan iklim.

“Kami berterima kasih kepada Kerajaan Belanda yang telah menawarkan bantuan dalam menangani bencana air di bawah skim Dutch Surge Support (DSS). Kami menghargai dan mengalu-alukan cadangan-cadangan daripada laporan Pengurangan Risiko Bencana (DRR).

“Pada masa ini, bersama dengan rakan sejawat, kami sedang merancang untuk melaksanakan beberapa projek perintis hasil daripada kerjasama kami di bawah skim ini.

“Inisiatif-inisiatif ini direka untuk meningkatkan strategi pengurusan banjir di Malaysia, membantu kami mengurangkan dan mengurangkan risiko banjir sambil mengukuhkan kesiapsiagaan kami terhadap impak perubahan iklim pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Dialog Air Malaysia-Belanda kali ketujuh bersama Duta Belanda ke Malaysia, Jacques Werner.

Datuk Seri Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, keselamatan air semakin berisiko akibat impak perubahan iklim, mendorong kejadian ekstrem seperti kemarau, banjir dan corak cuaca yang tidak dapat diramal.

Justeru, ia penting untuk negara memastikan akses kepada sumber air yang bersih termasuk meningkatkan infrastruktur, semakan polisi, meneroka sumber air alternatif, pengurusan air bawah tanah dan penyelesaian berasaskan alam semula jadi.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search