PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Seksyen ICT

Dua PPS dibuka

Tampin: Dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di negeri ini susulan hujan lebat mengakibatkan banjir di Gemencheh dan Kuala Pilah, semalam.

Dua PPS terbabit ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Gedok, Gemencheh dan Dewan Orang Ramai Dangi, Johol, Kuala Pilah.

Laman sesawang Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri memaklumkan seramai 19 mangsa membabitkan empat keluarga ditempatkan di SK Gedok manakala 10 keluarga membabitkan keseluruhan 44 mangsa berlindung di Dewan Orang Ramai Dangi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tampin Fadhil Hassan berkata, PPS SK Gedok yang dibuka pada jam 12 tengah malam kelmarin menempatkan mangsa yang tinggal di Kampung Tengah dan Gedok.

“Punca banjir kilat ini disebabkan hujan lebat dan limpahan air sungai,” katanya menerusi kenyataan, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri Gemencheh Suhaimizan Bizar berkata, misi bantuan banjir digerakkan dengan kerjasama Majlis Daerah Tampin, pasukan pengakap serta sukarelawan.

“Lebih 50 orang berjaya dikumpulkan dan dipecahkan ke beberapa lokasi di sekitar pekan Gemencheh termasuk Taman Muhibbah, Bukit Rokan, Kampung Tengah dan Kampung Gedok.

“Dianggarkan lebih 30 rumah di sekitar Gemencheh dan sebuah sekolah di Bukit Rokan terjejas.

“Data tepat rumah yang terjejas belum diperoleh sepenuhnya,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Daerah Kuala Pilah Mohamad Ghazali Abd Rahim berkata, PPS dibuka di Dewan Orang Ramai Dangi susulan banjir di sekitar Johol.

 

Mangsa banjir DUN Anak Bukit dapat bantuan

KUALA KEDAH: Seramai 100 penduduk Kampung Titi Gajah, Anak Bukit yang dilanda banjir September lalu, menerima sumbangan barangan keperluan harian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit, Rashidi Razak berkata, sumbangan pasca banjir itu diharapkan dapat meringankan sedikit sebanyak beban penduduk terbabit setelah kediaman mereka dilanda banjir sebelum ini.

“Kita semua tahu, sebahagian kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit dilanda banjir baru-baru ini. Musibah ini bukan sahaja menyebabkan peralatan rumah rosak, malah tanam-tanaman terkesan,” katanya dalam majlis penyampaian bantuan itu, semalam.

Turut hadir Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi dan Penghulu Mukim Titi Gajah, Mohd Riduan Razak.

Hujan lebat yang melanda Kedah bermula 18 September lalu menyebabkan beberapa daerah dilanda banjir. Di DUN Anak Bukit, lebih 10 kampung terutama yang berdekatan Sungai Anak Bukit terlibat.

Mangsa banjir di DUN berkenaan kemudian ditempatkan di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS), iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Merah, SMK Kepala Batas dan Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah.

Rashidi berharap projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sungai Anak Bukit dapat disiapkan segera untuk menangani isu banjir di DUN berkenaan. – HARAKAHDAILY 18/11/2024

800kg pakaian terpakai untuk mangsa banjir

SHAH ALAM – Hampir 800 kilogram (kg) pakaian terpakai berjaya dikumpul untuk diagihkan kepada mangsa banjir di negara ini.

Inisiatif mengumpul pakaian itu dilaksanakan menerusi Program Pengumpulan Pakaian Terpakai anjuran Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) dengan kerjasama Pelitawanis Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Pengarah PSA, Zainah Rujihan berkata, langkah itu merupakan usaha murni bertujuan memupuk kesedaran mengenai kepentingan amalan kitar semula selain menyokong inisiatif kelestarian alam.

Katanya, kesemua barangan yang dikumpulkan sepanjang seminggu kempen bermula 8 November lalu itu akan dihantar ke kilang yang menguruskan pakaian terpakai sebagai persediaan untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

“Setiap tahun industri fesyen menghasilkan berjuta-juta tan pakaian namun malangnya, sebahagian besar pakaian ini berakhir di tempat pelupusan sampah,” katanya hari ini.

Menurut beliau, tindakan tersebut bukan sahaja satu pembaziran, malah memberi kesan yang besar terhadap alam sekitar.

Timbalan Pengerusi 1 Pelitawanis TNB Cawangan Glenmarie, Fareeza Osman menegaskan, inisatif tersebut secara tidak langsung menyokong agenda kelestarian dan aktiviti aspek sosial, alam sekitar, governan atau tata kelola dan ekonomi (ESG).

“Ia juga secara langsung memperkukuhkan hubungan erat antara Pelitawanis TNB dan komuniti setempat termasuk institusi pendidikan seperti PSA,” katanya. – KOSMO! ONLINE

50 tan sayuran di Johor rosak ditenggelami banjir

JOHOR BAHRU: Kira-kira 50 tan sayuran rosak apabila kebun dan ladang sayur yang terletak di utara Johor, mula ditenggelami banjir susulan musim tengkujuh yang sudah bermula.

Setiausaha Persekutuan Penanam Sayur-Sayuran Malaysia, Tan Chee Kiong, berkata hujan lebat sejak Jumaat lalu menyebabkan lebih 20 hektar kebun serta ladang sayuran di Tangkak dan Muar, ditenggelami banjir.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan lebih banyak kebun dan ladang sayuran yang berada di kawasan rendah di Johor bakal ditenggelami banjir jika hujan lebat berterusan pada minggu ini.

"Hujan lebat dua hari yang melanda Tangkak dan Muar Jumaat dan Sabtu lalu menyebabkan lebih 20 hektar kebun sayuran di utara Johor ditenggelami banjir.

"Ia menyebabkan kira-kira 50 tan sayuran seperti sawi, bayam dan kangkung rosak akibat ditenggelami banjir.

Bagaimanapun, bekalan sayuran berdaun di negeri ini dan sekitar tidak terlalu terjejas kerana bekalan masih boleh didapati dari daerah dan negeri berdekatan," katanya ketika dihubungi.

Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 atau lebih dikenali sebagai musim tengkujuh di negara ini dilaporkan bermula pada 5 November lalu dan berterusan sehingga Mac 2025.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, dilaporkan berkata mengikut ramalan pihaknya, MTL kali ini akan membawa lima hingga tujuh episod hujan lebat.

Fasa awal MTL dalam masa dua bulan ini dilaporkan mengakibatkan episod hujan lebat yang dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.

Pada Januari dan Februari pula, kejadian hujan lebat lebih berpotensi melanda Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.

Dalam pada itu, Chee Kiong berkata, tempoh kira-kira tiga minggu hingga sebulan diperlukan bagi memastikan kebun serta ladang sayuran terjejas dapat memulakan proses penanaman sayuran semula.

Katanya, ini berikutan proses semaian semula perlu dibuat susulan sayuran yang ditanam rosak.

"Jika tanah terlalu berair pun tidak sesuai untuk proses semaian semula, mahu tak mahu pengusaha kena menunggu ia kering sedikit sebelum memulakan proses semaian semula sayuran.

"Jika keadaan hujan lebat berterusan, kami bimbang kebun dan ladang sayuran di kawasan rendah terutama Kota Tinggi dan Kluang, turut berpotensi ditenggelami banjir," katanya.

 

Pamer pelan risiko, bahaya tanah runtuh perlu ambil kira kejatuhan harga tanah – EXCO Selangor

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor sedang mempertimbangkan tindakan mempamerkan pelan risiko dan bahaya tanah runtuh di sesuatu lokaliti kepada awam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Pertanian negeri, Izham Hashim, bagaimanapun berkata pihaknya perlu mengambil kira faktor kejatuhan harga tanah jika dipamerkan secara tidak sewajarnya yang akan menyebabkan spekulasi harga tanah.

"Namun, pada masa sama tidak boleh mengabaikan keperluan memaklumkan kepada orang ramai kemungkinan tempat itu adalah bahaya demi menjaga kemaslahatan penduduk.

"Dua faktor ini sedang dipertimbangkan untuk dilihat sebelum membuat keputusan sama ada perlu mempamerkan secara menyeluruh atau berperingkat.

"Kita sudah berbincang, namun belum membuat keputusan bagaimana cara mempamerkannya kepada orang awam," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan dibangkitkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PN-Hulu Kelang) sama ada kerajaan negeri bersedia untuk mempamerkan pelan itu.

Izham berkata, pihaknya juga sedang meneliti mewujudkan badan khusus mengabungkan semua pihak berkepentingan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Mineral dan Galian bagi melihat secara terperinci dalam pengurusan kawasan berisiko tanah runtuh secara bersama.

"Tindakan meletak sistem amaran awal dianggap tidak praktikal bagi semua kawasan ini kerana banyak negara sudah tidak mengamalkannya.

"Fenomena aliran puing atau keruntuhan berlaku sekali-sekala, tidak ada tanda-tanda dan meletakkan alat sensitif serta mahal adalah tidak begitu praktikal kecuali lokasi itu ada tanda-tanda (runtuhan)," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebarang permohonan pembangunan bagi kelulusan kebenaran merancang membabitkan kawasan tinggi dan bercerun (Kelas 3 dan 4) perlu melalui Jawatankuasa Teknikal Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (JTPKSAS) yang dipengerusikan oleh PLAN Malaysia @Selangor.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search