CHUKAI: Mangsa banjir di daerah Kemaman dinasihatkan untuk tidak pulang ke rumah masing-masing meskipun keadaan cuaca baik setakat tengah hari ini dan banjir mulai surut.
Pegawai Daerah Kemaman Fadli Yusof Zakaria bagaimanapun mengingatkan mereka yang telah berbuat demikian untuk terus berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
Chukai: Polis mengingatkan penduduk di kawasan berisiko banjir mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelak berlaku sebarang kejadian tidak diingini sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) yang mula melanda negeri ini sejak semalam.
Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, keengganan sesetengah mangsa untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) antara kesukaran dihadapi pihak berkuasa ketika menjalankan operasi menyelamat mangsa banjir.
"Apa yang menjadi kebimbangan pihak penyelamat apabila kemungkinan ada di antara mangsa yang tidak mahu berpindah ke PPS.
"Jadi, saya nasihatkan mangsa banjir mematuhi arahan berpindah yang dikeluarkan pihak berkuasa dan tidak berpindah pada saat akhir.
"Kita tidak mahu mereka menghadapi keadaan kritikal dan menyukarkan pihak penyelamat untuk melakukan operasi menyelamat terutama pada waktu malam.
"Segera berpindah jika keadaan air semakin naik dan jangan tunggu arahan pihak berkuasa," katanya ketika membuat tinjauan di pos kawalan bencana di Perumahan Rumah Mampu Milik (RMM) Telok Kalong, di sini, hari ini.
Mohd Khairi berkata, pihaknya menjangkakan lebih ramai mangsa akan dipindahkan terutama di kawasan sekitar Chukai.
Katanya, lebih 10,000 mangsa akan terjejas sekiranya banjir melanda kawasan Chukai terutama penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Kemaman.
"Lebih 80 PPS beroperasi di seluruh Kemaman yang boleh menempatkan seramai 40,000 mangsa banjir.
"Banjir boleh berlaku disebabkan dua kemungkinan iaitu taburan hujan yang banyak dan pertembungan air pasang besar beserta hujan lebat.
"Penduduk khususnya di kawasan berhampiran sungai, hendaklah sentiasa berada dalam keadaan siap siaga dan segera berpindah sekiranya mendapati paras air sungai semakin naik.
"Ibu bapa juga dinasihatkan untuk sentiasa memantau pergerakan anak dan tidak membiarkan mereka bermain air banjir bagi mengelak kejadian lemas," katanya.
Seramai 2,545 mangsa daripada 637 keluarga masih berlindung di enam pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan daerah Kemaman dan Marang setakat jam 6 petang tadi.
Manakala banjir yang melanda daerah Hulu Terengganu, Dungun, dan Setiu telah pulih sepenuhnya pada Rabu.
Menerusi laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, daerah Kemaman terus merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 2,532 mangsa, di mana sebanyak lima PPS masih diaktifkan bagi menempatkan 633 keluarga .
Sementara itu, seramai 13 mangsa daripada empat keluarga masih ditempatkan di PPS Dewan Sivik Wakaf Tapai, Marang.
Ketika ini, hujan masih melanda di beberapa kawasan di negeri ini, namun ia menunjukkan trend penurunan.
KUALA LUMPUR – Amaran hujan berterusan (Buruk) berkuat kuasa sehingga 23 November 2024 melibatkan Terengganu, Pahang (Kuantan, Pekan dan Rompin); dan Johor (Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi), menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Manakala amaran hujan berterusan (Waspada) sehingga 23 November 2024 melibatkan negeri Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok,Machang dan Pasir Puteh) dan Pahang (Jerantut, Temerloh, Maran dan Bera).
Amaran hujan berterusan (Waspada) sehingga 20 November 2024 di Negeri Sembilan (Kuala Pilah, Jempol dan Tampin); Melaka; dan Johor (Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru). – MalaysiaGazette
KUALA LUMPUR: Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) hari ini meramalkan kawasan rendah berhampiran Sungai Muar di Segamat akan berlaku banjir disebabkan status aras air sungai yang menaik dan melebihi aras bahaya,
Dalam satu kenyataan, PRABN berkata banjir diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan iaitu jam 4 petang tadi, sekiranya hujan yang signifikan berlaku di kawasan berkenaan.
" Lokasi dijangka banjir adalah Sungai Muar di daerah Segamat, membabitkan kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer di sekitar Sungai Muar di Kampung Awat.
"Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir," katanya di sini hari ini.
PRABN meminta orang ramai melayari laman sesawang di https://publicinfobanjir.water.gov.my dan Facebook @PublicInfoBanjir untuk maklumat lanjut.
