PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Seksyen ICT

Laluan ditenggelami air 2 meter, jenazah di bawa ke kubur naik bot

KUALA KRAI: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menggunakan bot untuk membawa jenazah seorang warga emas selepas laluan ke kubur ditenggelami air sedalam dua meter.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Krai, Kapt (PA) Abd Fatah Abd Aziz, berkata Faizah Ismail, 74, meninggal dunia di rumahnya akibat strok dan sakit tua.

Katanya, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.26 tengah hari daripada Penghulu Mukim Batu Jong bagi bantuan membawa jenazah dari Taman Sri Nal ke Tanah Perkuburan Islam Mukim Batu Jong.

"Seramai 10 anggota bergegas ke lokasi dan tiba di rumah arwah pada pada jam 2.15 petang.

"Laluan dari rumah arwah ke tanah perkuburan sejauh lima kilometer dinaiki air sedalam dua meter menyebabkan pasukan penyelamat terpaksa menggunakan bot bagi membawa jenazah ke tanah perkuburan," katanya ketika dihubungi.

Katanya, pasukan penyelamat tiba di tanah perkuburan pada jam 2.30 petang dan membantu pengurusan pengebumian jenazah. "Operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.30 petang," katanya.

 

Amaran hujan lebat berterusan peringkat bahaya hingga Jumaat

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya, yang dijangka berlaku di seluruh Kelantan dan Terengganu serta daerah Kuantan dan Jerantut di Pahang hingga Jumaat ini.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan Perlis, Kedah (Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling), Perak (Hulu Perak) dan beberapa kawasan di Pahang melibatkan Cameron Highlands, Lipis, Maran, Pekan dan Rompin diramal mengalami hujan lebat berterusan tahap buruk bagi tempoh sama.

Hujan berterusan tahap waspada pula dijangka melanda Raub, Bentong, Temerloh dan Bera di Pahang; Pulau Pinang; Kedah (Langkawi, Yan, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu) serta Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta dan Kampar).

Amaran sama juga dikeluarkan bagi Segamat, Mersing dan Kota Tinggi di Johor; serta Telupid, Beluran, Sandakan dan Kudat, Sabah hingga 29 November ini.-BERNAMA

 

Ibu sarat mengandung, sakit jantung redah banjir paras leher

SETIU: Seorang wanita sarat mengandung yang juga pesakit jantung, meredah banjir paras leher sejauh 500 meter bagi menyelamatkan diri.

Menurut Wan Asmila Wan Deraman, 29 tahun, dia terpaksa bertarung nyawa demi menyelamatkan kandungannya yang sudah sampai tempoh untuk bersalin.

Lebih menyayat hati, apabila diberitahu jantungnya bergantung pada bateri sejak 19 tahun lalu.

“Rumah saya tu memang atas bukit air, jadi saya terpaksa redah banjir untuk sampai ke jalan utama, saya terpaksa redah kalau tak kerana mengandung saya dah tak redah banjir”, katanya.

Dia tidak menyangka jalan keluar dari rumahnya di Kampung Ulu Seladang ditenggelami air setinggi satu meter sehingga terpaksa meminta bantuan pihak bomba dan penyelamat untuk membawanya keluar ke jalan utama.

Wan Asmila kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk mendapatkan rawatan.

Mangsa banjir diminta utamakan keselamatan, patuhi arahan

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan mereka yang berada di kawasan berisiko banjir supaya mengutamakan keselamatan dan mematuhi arahan pihak berkuasa.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara meminta orang ramai tidak mengambil risiko yang boleh membahayakan nyawa terutama dalam situasi yang tidak menentu ketika ini.

“Amaran hujan berterusan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) juga menunjukkan keadaan cuaca yang berpotensi membawa risiko lebih besar terutamanya di kawasan yang dinyatakan dalam kategori bahaya, buruk dan waspada.

“Hujan lebat dijangka berlarutan hingga 29 Nov dan ini memerlukan kita semua lebih bersedia serta berwaspada,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.

Ahmad Zahid turut mendoakan agar mangsa yang terjejas banjir terus tabah menghadapi ujian dan segala urusan mereka dipermudah.

Beliau berkata berdasarkan Laporan Bencana Nasional daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengenai situasi banjir semasa, sebanyak lima negeri terjejas akibat banjir setakat 8 pagi tadi.

Beliau berkata orang ramai boleh melayari laman web rasmi dan media sosial MetMalaysia atau melalui aplikasi myCuaca bagi perkembangan terkini dan maklumat sahih tentang keadaan cuaca.- BERNAMA

 

Nasib baik ada 'abang' bomba

RANTAU PANJANG: "Kami dah berjalan kaki sejauh lima kilometer (km) untuk ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan bernasib baik berjumpa dengan pasukan bomba sedang membuat rondaan yang kemudian menumpangkan kami," kata Mohd Azlan Mansor, 38.

Mohd Mazlan berkata, dia bersama kakak, Rosliza Mansor, 39, dan anak saudara, NurQistina Balqisha Rahmat, 15, berjalan kaki ke PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baroh Pial, di sini, selepas kediamannya mula dimasuki air awal pagi tadi.

Katanya, mereka terpaksa berjalan kaki meredah banjir kerana kereta atau motosikal sudah tidak boleh dilalui susulan ada jalan yang dinaiki air separas 0.3 sehingga 0.5 meter.

"Selepas hampir dua jam kami meredah air, sejujurnya kami berasa sangat penat, namun Alhamdulillah 'abang' bomba hadir memberikan bantuan dan segera menghantar kami ke PPS.

"Saya sendiri tidak menyangka air akan naik dengan mendadak selepas hujan lebat tanpa henti sejak petang semalam. Biasanya saya akan berpindah awal, namun kali ini kerana jangkaan meleset kami terpaksa meredah banjir ke PPS.

"Kediaman saya sekeluarga tidak selamat untuk didiami setiap kali bah melanda kerana paras air boleh mencecah sehingga dua meter, jadi setiap tahun kami memilih untuk berlindung di PPS," katanya yang tinggal di Kampung Gertak Nombor Tiga, di sini.

Mohd Mazlan berkata, mereka hanya membawa beberapa helai baju dan barangan penting sahaja kerana bimbang untuk meredah banjir.

"Penat sebenarnya redah air kerana memerlukan tenaga lebih-lebih lagi apabila berhadapan arus yang kuat. Tambahan pula, masa perjalanan untuk sampai menjadi lebih lama.

"Bagaimana pun, kami berterima kasih dan menghargai khidmat anggota penyelamat yang sanggup berkorban masa dan tenaga bagi membantu mangsa banjir seperti kami," katanya.

Tinjauam hari ini, mendapati beberapa penempatan seperti Kampung Kubang Kual, Kampung Banggol Mekong, Kampung Kusar, Kampung Tasek Bakong sudah dinaiki air sejak awal pagi tadi.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search