OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Banjir: Keadaan di Melaka pulih sepenuhnya, jumlah mangsa 8 negeri terus menurun

KUALA LUMPUR: Situasi banjir di Melaka pulih sepenuhnya manakala keadaan di lapan lagi negeri juga menunjukkan perkembangan lebih baik, dengan jumlah mangsa yang berlindung di pusat permindahan sementara (PPS) terus berkurangan setakat 4 petang tadi.

Di MELAKA, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan, tiga PPS yang menempatkan 62 mangsa daripada 16 keluarga ditutup sepenuhnya petang tadi.

PPS Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Ayer Limau ditutup 3 petang tadi manakala PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Jernih dan Balai Raya Kampung Seri Jeram masing-masing ditutup 2.30 petang.

Sementara itu di KEDAH, mangsa banjir terus berkurangan dengan ketara kepada 416 orang berbanding 1,072 orang pagi tadi susulan enam PPS dalam proses ditutup hingga 5 petang ini.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah, baki mangsa dari daerah Kubang Pasu itu masih berlindung di tiga PPS, iaitu Dewan Kodiang, Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Pekan dan SK Tunjang.

 

Turut merekodkan penurunan ketara ialah TERENGGANU, dengan angka terkini mangsa sebanyak 2,634 orang berbanding 5,856 orang pagi tadi.

Berdasarkan InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua mangsa masih berlindung di 81 PPS melibatkan tujuh daerah dengan Kuala Terengganu mencatatkan 884 mangsa, Marang (574 orang), Kuala Nerus (341 orang), Setiu (291 orang), Dungun (208 orang) dan Kemaman (202 orang) serta Hulu Terengganu (134 orang).

Di NEGERI SEMBILAN, InfoBencana JKM memaklumkan jumlah mangsa banjir menurun kepada 105 individu berbanding 127 orang pagi tadi, yang berlindung di tiga PPS.

Di PERAK, yang masih merekodkan angka tertinggi mangsa banjir juga menunjukkan penurunan kepada 5,920 orang daripada berbanding 6,420 orang yang ditempatkan di 42 PPS di lima daerah.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak, satu PPS Surau An-Nur Hidayah di daerah Muallim ditutup 2 petang tadi.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir turut berkurangan sedikit kepada 1,132 orang berbanding 1,390 orang, yang berlindung di 36 PPS di tujuh daerah.

Bagimanapun bacaan paras air di tiga lokasi masih melebihi paras bahaya iaitu Sungai Pahang di Sungai Triang di Jambatan Keretapi, Bera (35.16 m); Sungai Pahang di Waterfront, Bera (28.72 m); dan Sungai Pahang di Kuala Krau, Temerloh (40.13 m).

Di PERLIS, mangsa banjir menurun kepada 3,577 orang berbanding 4,266 orang pada sebelah pagi selepas tiga lagi PPS ditutup petang tadi menjadikan hanya 15 PPS masih aktif iaitu di Kangar, Arau dan Padang Besar.

Situasi banjir di KELANTAN juga stabil petang ini dengan hanya satu jajahan masih terjejas, iaitu Pasir Mas melibatkan 1,026 mangsa berbanding 1,850 pagi tadi, di empat PPS.

Di SELANGOR, keadaan banjir juga beransur pulih dengan jumlah mangsa berkurang kepada 3,203 orang berbanding 3,646 orang pagi tadi, yang berlindung di 35 PPS di empat daerah iaitu Kuala Selangor, Sepang, Kuala Langat dan Sabak Bernam.

- BERNAMA

'Neraka Hong Kong' amaran buat Malaysia

JERITAN ketakutan berbaur ketika api menyambar lapan blok kediaman 31 tingkat di Wang Fuk Court, Tai Po, yang menempatkan hampir 4,600 penduduk.

Kebakaran digelar ‘neraka Hong Kong’ itu dipercayai bermula pada perancah buluh dan jaring hijau kerja ubah suai yang menjadi pemangkin api merebak pantas.

Dalam sekelip mata, bangunan tinggi yang sepatutnya melindungi berubah menjadi perangkap maut. Seramai 128 orang terkorban setakat Sabtu dan 200 lagi hilang.

Pengalaman ngeri di Hong Kong baru-baru ini itu bukan asing bagi Malaysia. Kita pernah tersentak apabila blok pejabat milik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Petaling Jaya terbakar pada 2018 disebabkan ‘cladding’ atau panel pelindung mudah terbakar yang melanggar spesifikasi keselamatan.

Sejurus itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mendedahkan sekurang-kurangnya 47 bangunan tinggi di seluruh negara, berisiko tinggi kebakaran.

Namun sejak insiden itu, berapa banyak bangunan tinggi yang benar-benar diaudit?

Menurut data Majlis Bangunan Tinggi dan Habitat Bandar (CTBUH), sebuah NGO antarabangsa bagi bangunan tinggi, Malaysia memiliki sekitar 327 bangunan siap yang melebihi 150 meter atau 40 hingga 50 tingkat, ketinggian yang dikategorikan sebagai pencakar langit.

Ratusan bangunan tinggi ini berisiko besar jika aspek keselamatan diabaikan. Wang Fuk Court sudah buktikan ketinggian dan bilangan tingkat terdedah bahaya andai sistem kawalan dan bahan binaan gagal.

Setiap bangunan tinggi sama ada kondominium, pejabat atau pangsapuri, mesti diuji, diperiksa dan diwartakan mengikut piawaian keselamatan terkini.

Sistem penggera perlu berfungsi, sprinkler aktif, laluan kecemasan jelas, bahan luaran tahan api dan ubahsuai dipantau ketat. Bukan hanya semasa bina, tetapi seumur hidup bangunan.

Penghuni di Wang Fuk Court sepatutnya berhak merasa aman ketika pulang ke rumah, begitu juga kita di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Johor, George Town atau mana-mana bandar bertingkat di Malaysia.

Jangan tunggu jeritan cemas dan asap hitam memenuhi langit bandar kita sebelum bertindak. Jika tragedi Wang Fuk Court tidak membuka mata, apa lagi yang mampu?

107 Perlis students to sit SPM exam in Kedah

ALOR STAR: Rising floodwaters have forced 107 Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) candidates from SM Sains Tuanku Syed Putra in Perlis to sit their exams in Kedah.

The Kedah Education Department said the candidates would take the examination at Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Kubang Pasu from today to Dec 15.

It added that all examination materials from the Perlis Education Department were also transferred to SMK Tunku Bendahara in Kedah on Saturday under strict supervision of personnel from the Examination Board, Kedah and Perlis education departments, the Education Service Commission and Kubang Pasu education office.

“The Examination Board’s deputy director Dr Habibah Mat Rejab was also present to ensure that the process was conducted in accordance with procedures. “New examination personnel have been appointed to ensure smooth operations at SBPI Kubang Pasu,” said the Kedah Education Department.

It also confirmed that two examination centres in the state — SMA Darussaadah and SMK Seri Gunung — had resumed operations after floodwaters in the area receded and the weather cleared.

It said 89 candidates from SMA Darussaadah and 62 from SMK Seri Gunung would continue the examination at their respective schools. “The district education office, security agencies and the Examination Board will continue to monitor the situation.”

Air Empangan Muda melimpah

Air di Empangan Muda mula melimpah melalui struktur saluran limpah pada jam 1 pagi kelmarin selepas paras air melepasi aras limpah ditetapkan, 100.540 meter (m).

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa sehingga jam 8 pagi kelmarin, paras air direkodkan pada 100.69m dengan kadar limpahan 168.08 cusec.

Menurutnya, limpahan berkenaan masih dalam julat operasi normal empangan dan semua rekod teknikal sudah disalurkan kepada agensi berkaitan untuk pemantauan segera di lapangan.

“Sebelum limpahan berlaku, paras takungan air di tiga empangan di bawah seliaan MADA mencatat peningkatan ketara susulan hujan berterusan sejak 23 November.

“Empangan Pedu direkodkan pada paras 64.64 peratus, Empangan Muda pada 101.40 peratus, manakala Empangan Ahning pada 67.34 peratus,” menurut kenyataan itu.

Peningkatan paras air berkenaan seiring dengan jumlah hujan tinggi direkodkan di kawasan tadahan dalam tempoh enam hari, iaitu 117 milimeter (mm) di Empangan Pedu, 160mm di Empangan Muda dan 251mm di Empangan Ahning.

Sebagai langkah kawalan awal, MADA menutup pelepasan air dari empangan mulai 23 November lalu mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Perak paling terkesan

Dalam pada itu, jumlah mangsa banjir di 10 negeri tidak banyak berubah apabila sehingga jam 5 petang semalam, sebanyak 16,723 individu masih ditempatkan di 212 pusat pemindahan sementara (PPS).

Menerusi laman sesawang Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Perak menjadi negeri paling tinggi terkesan banjir membabitkan 5,314 mangsa.

Ini diikuti dengan Perlis dengan 3,406 orang, Selangor (3,182), Terengganu (2,338), Kelantan (1,046), Pahang (849), Kedah (467), Negeri Sembilan (99), Sarawak (14) dan Kuala Lumpur, lapan orang.

Bagi status paras air sungai di stesen dan empangan di beberapa negeri, ia turut menunjukkan kadar penurunan dan positif meskipun ada daripadanya sudah melepasi tahap bahaya.

Sehingga jam 6 petang semalam, tujuh empangan dan stesen dilaporkan melebihi paras bahaya, termasuk di Perlis membabitkan Empangan Timah Tasuh serta Perak meliputi Sungai Slim di Slim River serta Sungai Bidor di Changkat Jong.

Selangor membabitkan stesen air di Pintu Air Ijok; Johor (Sungai Muar di Kampung Awat); Terengganu (Sungai Paka di Kampung Luit) serta Kelantan (Sungai Golok di Rantau Panjang).

Sementara itu, sebanyak 14 stesen dan empangan menunjukkan paras air pada tahap waspada iaitu di Kedah (Sungai Kulim);

Selangor (Rantau Panjang, Parit Mahang dan Rimba); Melaka (Cheng dan Rumah Pam Telok Rimba) dan Johor (Sungai Batu Pahat, Sungai Tangkak dan Sungai Paya Dato).

Ia turut membabitkan Terengganu (Sungai Nerus di Kampung Bukit dan Sungai Besut) serta Kelantan (Sungai Golok, Sungai Galas dan Sungai Kelantan).

Cari penyelesaian atasi masalah banjir, fizikal dan mental rakyat

Setiap kali hujan turun pada musim monsun, kegusaran mencengkam rakyat Malaysia semakin terasa. Apa yang dahulunya sekadar fenomena cuaca tahunan kini membawa dimensi psikologi lebih mendalam.

Corak monsun yang berubah dengan hujan tidak menentu, ribut semakin kuat dan peningkatan kejadian banjir kilat, menjadikan musim tengkujuh satu tempoh yang mencabar bukan sahaja dari segi fizikal, tetapi juga mental.

Dalam kalangan penyelidik, keadaan ini semakin dirujuk sebagai ‘eco-anxiety’, iaitu kebimbangan berkaitan dengan perubahan iklim dan ketidakstabilan alam sekitar.

Di banyak negeri, hujan lebat bukan lagi dianggap sebagai perkara rutin. Ia kini mencetuskan tindak balas psikologi jelas, iaitu jantung berdebar apabila mendengar guruh, rasa tidak tenang apabila melihat awan hitam atau kecenderungan memantau paras air secara berulang.

Kehadiran gejala sebegini menunjukkan reaksi masyarakat terhadap bencana alam sudah melepasi tahap kebimbangan biasa dan memasuki wilayah tekanan iklim lebih kompleks.

Di kawasan sering terjejas seperti Klang, Kuantan, Kota Belud dan beberapa bahagian Johor, pengalaman banjir berulang membawa kesan psikososial yang jelas. Kajian pada peringkat antarabangsa menunjukkan mangsa bencana berulang berisiko tinggi mengalami tekanan pasca trauma (PTSD), keresahan jangka panjang, gangguan tidur dan perubahan tingkah laku.

Walaupun istilah PTSD jarang dibincangkan dalam konteks Malaysia, aduan seperti ‘takut setiap kali hujan’, ‘terbayang rumah dinaiki air’ dan ‘tak dapat fokus kerja apabila cuaca mendung’ menggambarkan simptom sebenar tekanan iklim yang semakin menular.

Di bandar pula, masalahnya lebih unik. Banjir kilat yang muncul secara tiba-tiba sering dalam masa kurang 30 minit, menyebabkan penduduk berasakan mereka tidak mempunyai kawalan langsung terhadap persekitaran.

Keadaan ini menjadi faktor utama ‘eco-anxiety’ apabila individu berasakan tiada kemampuan untuk melindungi diri atau mengurus risiko yang semakin kerap.

Pemanasan global menyebabkan udara mengekalkan lebih banyak wap air, mengakibatkan hujan turun dalam jumlah besar dalam tempoh singkat. Pada masa sama, pembangunan pesat mengurangkan kawasan serapan air, manakala sungai yang cetek dan sistem perparitan yang sering tersumbat mempercepatkan limpahan. Semua faktor ini bergabung menghasilkan banjir yang lebih kerap dan lebih sukar diramal.

Apabila kesannya dirasai hampir setiap tahun, masyarakat mula mengembangkan pola kebimbangan jangka panjang. ‘Eco-anxiety’ dalam konteks Malaysia tidak terhad kepada kebimbangan mengenai masa depan planet semata-mata, tetapi ia berkait secara langsung dengan keselamatan harian, kemampuan ekonomi, tempat tinggal dan kelangsungan hidup.

Tingkat daya tahan rakyat

Pada masa sama, komuniti pesisir menghadapi tekanan iklim dua kali ganda. Di Sabah, Terengganu dan beberapa kawasan pesisir lain, kesan musim monsun lebih ketara kerana pengaruh angin kencang dan kenaikan paras laut.

Komuniti seperti Bajau Laut berdepan perubahan yang mengganggu rutin harian, iaitu angin kuat yang menumbangkan struktur rumah atas air, ombak besar yang menyukarkan aktiviti menangkap ikan serta ketidaktentuan cuaca yang menjejaskan keselamatan bot dan hasil tangkapan.

Bagi komuniti yang identitinya berakar pada laut seperti Bajau Laut, gambaran air yang melimpah bukan sahaja isu banjir, tetapi representasi langsung kemerosotan keselamatan laut. Jika di darat air melimpah dengan cepat, di laut pula ombak yang berubah, arus yang kuat dan permukaan air yang naik membawa dimensi keresahan tambahan.

Bagi mereka, air bukan sekadar elemen cuaca, tetapi identiti. Apabila air berubah, seluruh struktur sosial dan budaya turut terganggu.

Walaupun cabaran ini semakin meningkat, negara masih mempunyai ruang besar untuk memperkukuh ketahanan masyarakat. Sistem amaran banjir berskala komuniti, pemantauan paras air menggunakan sensor murah, latihan bencana setempat dan pendidikan awam mengenai risiko iklim adalah antara pendekatan yang terbukti berkesan.

Namun, penyelidik menegaskan ketahanan tidak boleh dibina hanya menerusi infrastruktur fizikal. Aspek psikososial seperti kesediaan mental, sokongan komuniti dan akses kepada bantuan kaunseling selepas bencana adalah sama penting.

‘Eco-anxiety’ bukan tanda kelemahan, tetapi refleksi kepada perubahan persekitaran yang semakin ketara. Menyedari kewujudannya membolehkan kita merangka strategi yang lebih komprehensif untuk meningkatkan daya tahan rakyat.

Musim monsun akan terus datang dan hujan tetap menjadi sebahagian daripada kehidupan di negara ini. Namun, maknanya bagi rakyat kini sudah berubah. Bagi sesetengah orang, hujan membawa kesegaran tetapi bagi sebahagian lain, hujan membawa ingatan terhadap kerosakan, kehilangan dan ketakutan.

Memahami ‘eco-anxiety’ dalam konteks banjir bukan soal mencipta istilah baharu, tetapi soal mengakui pengalaman sebenar masyarakat, iaitu perubahan iklim memberi kesan bukan sahaja kepada alam sekitar, tetapi juga kepada kesejahteraan mental rakyat.

Jika Malaysia ingin menghadapi cabaran iklim masa depan, kita perlu menjaga kedua-duanya, tanah yang dipijak dan jiwa yang memikul ketidakpastian.

 

 

 

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search