OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Perluas larangan di lokasi runtuhan tebing

Polis Kelantan akan memperluaskan kawasan larangan lokasi runtuhan di tebing Sungai Kelantan di Jalan Post Office Lama, di sini.

Ia berikutan masih ada segelintir yang tidak mengendahkan garisan kuning dan bertindak memasuki kawasan larangan itu semata-mata untuk merakamkan gambar termasuk membuat siaran langsung.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, beliau sudah mengarahkan anggota agar memperluaskan kawasan larangan secepat mungkin bagi mengelakkan tragedi lain yang tidak diingini.

“Kita akan perluaskan lagi kawasan larangan kerana ia amat bahaya jika masuk atau mendekati, mungkin ada rekahan lagi di bawahnya kita tidak tahu.

“Memang ada yang datang semata-mata untuk mengambil gambar, jangan cross line tali kuning, kita tak tahu bila masa akan runtuh (lagi),” katanya ketika dihubungi, semalam.

Tinjauan yang dibuat mendapati masih ada individu yang mendekati lokasi kejadian malah memasuki garisan kuning semata-mata untuk merakamkan gambar dan tindakan

itu dikhuatiri mengundang padah memandangkan runtuhan baru berlaku tiga hari lalu.

Isnin lalu, dilaporkan satu runtuhan sepanjang hampir 50 meter dikesan di tebing Sungai Kelantan yang menyebabkan laluan pejalan kaki dan rekreasi turut runtuh pada ketinggian hampir 10 meter.

Seorang penduduk yang menetap di pangsapuri berhampiran, Lim Jan Ngoh, 79, berkata, dia bimbang jika kesan runtuhan itu merebak ke kawasan penempatannya memandangkan hanya terletak kira-kira 20 meter saja dari lokasi kejadian.

Rugi RM177j akibat banjir

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia (KPKM) merekodkan kerugian lebih RM177 juta di seluruh negeri yang terjejas banjir baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerugian itu meliputi sektor pertanian dan ternakan serta jumlah itu dijangka terus meningkat.

“Pihak kementerian masih lagi melakukan bancian berhubung jumlah kerugian dan bantuan akan disalurkan kepada mereka yang terjejas secara berperingkat.

“Seperti biasa KPKM akan aktif selepas bencana banjir dan saya mengarahkan semua supaya turun ke lapangan untuk membanci kerugian yang dialami mangsa banjir.

“Setakat ini nilai kerugian lebih RM177 juta termasuk di Kelantan lebih RM33 juta dan dijangka semakin meningkat.

“Setakat ini nilai kerugian lebih RM177 juta termasuk di Kelantan lebih RM33 juta” Mohamad Sabu

Bantuan kepada mereka yang terjejas akan disalurkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan bantuan kepada pesawah terjejas banjir di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada), Khalid Abdul Samad.

Mengulas bantuan berkenaan, Mohamad berkata, sebanyak RM6.3 juta disalurkan kepada pesawah di Kelantan yang terjejas banjir.

Katanya, seramai 10,628 pesawah yang menerima bantuan berkenaan dengan setiap penerima mendapat RM600.

Hujan berterusan di Pantai Timur sehingga 23 Disember

PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan luruan monsun yang berlaku sepanjang musim tengkujuh berterusan sehingga 23 Disember ini.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, berdasarkan analisis model-model cuaca terkini, luruan yang bermula pada 16 Di­sember dijangka bakal menjejaskan banyak negeri.

“Keadaan ini berpotensi menyebabkan hujan berterusan di negeri-negeri di Pandai Timur.

“Manakala di Sarawak dan Sabah pula, hujan berterusan dijangka berlaku antara 19 hingga 22 Disember ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain itu, Hisyam berkata, cuaca panas negara ini dijangka bermula pada penghujung Febuari sehingga Jun tahun depan.

“Berdasarkan rekod pencerapan meteorologi, cuaca panas di negara kita lazimnya bermula pada bulan tersebut dimana kemuncaknya adalah antara Mac hingga Mei dengan suhu maksimum boleh melebihi 35 darjah Celsius.

“Situasi ini berlaku disebabkan keadaan atmosfera adalah kering dalam tempoh tersebut berikutan kelembapan udara yang rendah.

“Seterusnya, akan mengurangkan pembentukan awan di kebanyakan tempat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang awam sentiasa bersiap siaga serta mendapatkan maklumat cuaca terkini yang dikeluarkan oleh MET Malaysia melalui pelbagai medium, iaitu laman web rasmi jabatan, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi MetMalaysia.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan melalui talian hotline MET Malaysia di 1-300-22-1638. – UTUSAN

Pembinaan sekolah baharu di lokasi bebas banjir – Fadhlina

ARAU: Pembinaan bangunan atau tapak sekolah baharu selepas ini perlu dilaksanakan di kawasan yang selamat dan tinggi bagi mengelakkan sebarang gangguan sekiranya berlaku bencana seperti banjir.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah tersebut adalah berikutan kawasan sekolah kebiasaan akan dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menempatkan mangsa-mangsa terjejas.

Katanya, perkara ini perlu diberikan perhatian penuh dengan pemilihan lokasi selamat bagi pembinaan bangunan dan tapak sekolah baharu tersebut.

“Selain itu, ke hadapan kelak, kita juga ambil pendekatan di mana soal penyelenggaraan juga mestilah disegerakan dan bantuan akibat bencana juga mesti disegerakan.

“Malah persiapan untuk masuk ke sekolah pasca banjir juga perlu diberikan perhatian sewajarnya,” katanya ketika ditemui selepas Program Ziarah Madani Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Zon Utara Tahun 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Arau, di sini, hari ini.

Fadhlina berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai persediaan infrastruktur pendidikan susulan daripada perubahan iklim negara ketika ini.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan mengambil pendekatan untuk melihat perkara berkenaan dengan lebih jauh bagi memastikan setiap sekolah sentiasa terus berada dalam keadaan kondusif.

“Pasca banjir dan perubahan iklim memang beri kesan secara langsung. Bila banjir ia akan menyebabkan gangguan kepada sistem pendidikan berikutan bencana turut beri kesan pada guru serta murid-murid,” katanya.

Sementara itu, Fadhlina berkata. program Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) yang diperkenalkan di 15 buah sekolah setakat ini, terus mendapat permintaan daripada ibu bapa dan komuniti selepas berjaya melahirkan ramai golongan huffaz selain sebagai usaha menegakkan syiar Islam di negara ini.

Setelah 10 tahun TMUA diperkenalkan, seramai 7,075 murid hafiz al-Quran direkodkan.

Beliau berkata, impak pelaksanaan TMUA dalam sistem pendidikan negara sangat besar khususnya dengan keupayaan sekolah menyediakan pengajian bagi program tersebut. – UTUSAN

Banjir termenung Kampung Tersang bau busuk, risiko penyakit

RANTAU PANJANG: Banjir termenung yang masih menghantui penduduk di Kampung Tersang di sini, menyebabkan mereka berdepan bau basuk selain terdedah kepada penyakit bawaan air.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kawasan rumah penduduk masih digenangi air sedalam 0.3 meter dan memburukkan lagi keadaan air di kawasan berkenaan yang sebelum ini jernih bertukar keruh serta berwarna hitam.

Seorang penduduk, Zubaidah Awang Senik berkata, situasi itu menyebabkan mereka terpaksa memakai kasut getah bagi mengelakkan kegatalan pada kulit.

“Ketika ini kami terpaksa mengharungi air banjir yang busuk dan berwarna hitam untuk pulang ke rumah kerana laluan masih belum dapat dilalui oleh kenderaan ringan.

“Nak guna bot pun tidak boleh, kerana paras air yang terlalu cetek,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Zubaidah berkata, keadaan itu turut dikhuatiri membahayakan kesihatan penduduk dengan terdedah kepada risiko-risiko lain termasuk demam denggi.

Sementara itu, Mohd. Nordin Yusof, 53, berkata, penduduk terpaksa membina titi bagi memudahkan urusan selain mengelakkan daripada mengharungi air banjir termenung yang kotor.

Katanya, disebabkan arus yang perlahan, penduduk turut berdepan dengan ancaman lintah dan cacing. – UTUSAN

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search