OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

JKR guna kaedah UPV sahkan rumah selamat diduduki semula

JKR guna kaedah UPV sahkan rumah selamat diduduki semula

Subang Jaya: Jabatan Kerja Raya (JKR) menggunakan kaedah Ultrasonic Pulse Velocity (UPV) sebagai langkah tambahan bagi memastikan keselamatan rumah yang terjejas akibat tragedi letupan paip gas di Putra Heights, di sini, selamat untuk didiami.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata kaedah itu bagi mengesahkan keutuhan struktur rumah. Katanya, hasil ujian itu adalah konsisten dengan penilaian yang dibuat sebelum ini membabitkan 301 rumah.

“Rumah boleh diduduki dari segi kestabilan struktur dan kemudahan utiliti.

“Pemilik perlu masuk ke rumah mereka dan buat pembaikan. Sekiranya ada sebarang perkara luar biasa atau mencurigakan, penghuni boleh buat aduan untuk pemeriksaan lanjut bomba, JKR dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Kita telah buka satu kaunter Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) untuk aduan daripada pemilik rumah bagi tindakan pihak berkaitan. Itu proses yang kita susun dan persetujui,” katanya pada sidang akhbar di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Putra Heights di sini, semalam.

301 rumah selamat dihuni

Hussein berkata, pemeriksaan yang munasabah telah dijalankan oleh agensi berkaitan dan pendapat diambil kira untuk mengesahkan kediaman selamat untuk dihuni semula.

Katanya, JKR, bomba dan TNB juga telah mengesahkan 301 rumah dikategorikan sebagai selamat dan penghuni dibenarkan untuk pulang dan meneruskan proses pembaikan.

“Setakat ini, sebanyak 190 rumah telah diduduki semula,” katanya. Beliau berkata, keselamatan kediaman terjejas di sekitar lokasi kejadian juga terkawal.

“Polis telah menempatkan 124 anggota untuk mengawal 24 jam di parameter kawasan bencana bagi menjaga keselamatan harta benda, selain mengawal proses pengoperasian di lokasi bencana,” katanya.

Tragedi letupan dan kebakaran saluran gas PETRONAS pada 1 April lalu mengakibatkan api menjulang hingga lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa selama hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search