Polis terima 755 laporan daripada mangsa tragedi
- Admin UKK
- Berita
Subang Jaya: Polis Selangor secara keseluruhan menerima 755 laporan daripada penduduk yang terjejas di kawasan letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights, di sini.
Semua laporan yang diterima membabitkan kerosakan rumah, kerosakan kenderaan dan kecederaan yang dialami akibat tragedi berkenaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata pihaknya setakat ini tidak menerima sebarang laporan yang dibuat terhadap pemilik paip gas atau mana-mana kontraktor yang terbabit dalam kerja-kerja di kawasan berkenaan.
“Setakat ini, 755 laporan yang diterima daripada mangsa adalah berkaitan kerosakan rumah, kenderaan dan kecederaan. Pihak polis tidak menerima sebarang laporan lain daripada perkara ini,” katanya pada sidang media Ops Gas, di sini, semalam.
Beliau berkata demikian selepas ditanya adakah polis menerima laporan terhadap PETRONAS selaku pemilik paip gas, pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan syarikat-syarikat kontraktor yang melaksanakan sebarang kerja di kawasan kejadian.
Katanya, pihak polis juga sudah merakam keterangan daripada pemaju yang menjalankan kerja-kerja di kawasan kejadian.
“Kita sudah merakam percakapan bagi mendapatkan maklumat sama ada kerja-kerja mereka memberi kesan kepada kejadian letupan dan sebagainya.
“Proses pengumpulan maklumat ini penting bagi membolehkan kita menyelaraskan bukti yang akan diperoleh selepas siasatan di ground zero atau lokasi kejadian dijalankan dalam masa terdekat,” katanya.
Setakat ini, proses siasatan di ground zero masih belum dimulakan kerana kerja-kerja mendalamkan kawasan ground zero untuk tujuan siasatan masih dijalankan.
Ini berikutan kerja-kerja mendalamkan lokasi kejadian dijangka mengambil masa selepas agensi teknikal yang terbabit dalam siasatan sedang membuat teres bagi memastikan struktur tanah kukuh sebelum siasatan dimulakan.
Dalam perkembangan berkaitan, Hussein mengesahkan pihaknya menerima satu laporan daripada Pejabat Kesihatan Daerah, berhubung penularan berita tidak benar mengenai kematian seorang kanak-kanak yang juga mangsa kejadian letupan dan kebakaran itu.
“Pihak polis sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas kesalahan menfitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia (MCMC) kerana menyebarkan berita palsu,” katanya.