OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Komitmen bersama jaga kebersihan mampu cegah bencana alam ekstrem

Dunia sedang mengalami perubahan cuaca menyebabkan fenomena bencana alam ekstrem. Banjir semakin kerap melanda banyak negara, termasuk Malaysia menjadi petanda jelas keseimbangan ekosistem sedang tergugat.

Kejadian ini bukan sekadar fenomena semula jadi tetapi turut didorong tindakan manusia merosakkan alam sekitar. Kesan banjir tidak hanya terbatas kepada kemusnahan harta benda dan infrastruktur, tetapi memberikan impak besar terhadap kehidupan sosial, ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.

Kebanyakan kejadian banjir kini dipengaruhi perubahan drastik dalam pola cuaca akibat perubahan iklim global. Pemanasan bumi diakibatkan pelepasan gas rumah kaca meningkatkan kadar penyejatan, menghasilkan hujan lebih lebat dan kerap.

Dalam konteks Malaysia, kawasan bandar pesat membangun sering menghadapi banjir kilat akibat saliran tidak mencukupi dan perancangan bandar kurang efektif walaupun pemerintah sudah melakukan apa yang terdaya mencegahnya.

Penebangan hutan secara meluas juga menghapuskan kawasan tadahan air semula jadi, menyebabkan tanah kehilangan keupayaan untuk menyerap air hujan.

Antara isu utama manusia sering kali terlepas pandang ialah akibat pencemaran alam, khususnya pencemaran sampah, menambah teruk banjir.

Apabila hujan atau angin bertiup, serpihan plastik dengan mudah dibawa melalui saluran air dan longkang. Sungai yang dulunya arus air semula jadi kini bertukar menjadi ‘lebuh raya plastik’.

Masalah ini semakin rumit apabila plastik mencemari sungai dan kawasan tadahan mengganggu keseimbangan ekosistem air. Selain mencetuskan banjir, pencemaran ini juga memusnahkan habitat semula jadi hidupan akuatik.

Kesannya, bukan sahaja risiko banjir meningkat, tetapi sumber semula jadi penting turut terancam. Dalam situasi ini, keperluan untuk menjaga dan melestarikan alam semakin mendesak.

Didik kepentingan urus sisa

Dalam menghadapi cabaran ini, penjagaan alam sekitar tidak lagi boleh dianggap sebagai pilihan, tetapi mesti menjadi tanggungjawab bersama. Kawasan hijau berfungsi sebagai penampan semula jadi wajib dipelihara.

Sementara itu, pengurusan sisa pepejal memerlukan perhatian serius. Masyarakat perlu dididik mengenai kepentingan menguruskan sisa dengan betul, termasuk kitar semula dan pengurangan penggunaan plastik.

Mungkin kita memerlukan sistem pengumpulan sisa baharu lebih efisien dan pelaksanaan undang-undang lebih tegas terhadap penyebab pencemaran dan pembuangan sampah secara haram.

Pembangunan infrastruktur mampan perlu menjadi keutamaan. Justeru, pendekatan holistik membabitkan kerjasama antara kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi akademik dan masyarakat amat diperlukan untuk menangani isu banjir dan pencemaran alam sekitar.

Kerajaan mesti memimpin dengan dasar yang tegas dan membuat pelaburan strategik dalam teknologi hijau serta tenaga boleh diperbaharui. Usaha ini memerlukan sokongan sektor swasta yang mampu mencipta inovasi mesra alam dan mengamalkan perniagaan lestari.

NGO boleh menjadi penggerak meningkatkan kesedaran rakyat, menyelaras bantuan teknikal dan mendekati komuniti terkesan. Semua ini menuntut keberanian untuk melangkah keluar daripada zon selesa dan mengutamakan kelangsungan bumi kita.

Perubahan sebenar bermula pada akar umbi. Masyarakat setempat tidak boleh menormalisasikan aktiviti pencemaran alam mahupun rasa selasa atau tidak tersentuh dengan aktiviti kerosakan alam. Usaha bersama ini bukan sahaja mengurangkan risiko bencana, tetapi juga meletakkan asas kukuh untuk masa depan lestari.

 

Bulan Sabit Merah agih sumbangan buat lebih 6,000 keluarga terjejas bah

HULU TERENGGANU, 20 DIS: Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) terus menunjukkan komitmennya terhadap bantuan kemanusiaan melalui inisiatif bantuan banjir yang sedang dijalankan, memberikan bantuan penting dan sokongan kepada komuniti yang terjejas banjir di Hulu Terengganu. Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Tunku Temenggong Kedah, Pengerusi Kebangsaan BSMM hadir untuk memantau dan menyokong usaha bantuan ini.

Program ini yang berlangsung di Balai Raya Kampung Bukit Tadok, Hulu Terengganu mencerminkan dedikasi BSMM dalam meringankan beban yang dihadapi oleh keluarga terjejas. YTM Tunku Puteri Intan Safinaz menyampaikan penghargaan kepada sukarelawan, penyumbang dan rakan kerjasama atas usaha mereka yang tidak pernah mengenal penat lelah, serta menekankan kepentingan kerjasama dalam menghadapi krisis.

Dalam inisiatif ini, BSMM telah mengagihkan pek makanan sumbangan Nestlé Malaysia, kit kebersihan daripada Guardian Malaysia serta bantuan makanan tambahan yang disediakan oleh KFC Malaysia. Para sukarelawan BSMM turut menjalankan saringan kesihatan, aktiviti promosi kebersihan dan ziarah
rumah mangsa banjir yang uzur (bedridden), memberikan sokongan material dan moral.

Inisiatif bantuan banjir BSMM dijalankan dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pihak berkuasa tempatan.

Setakat ini, BSMM telah membantu lebih 30,000 individu daripada lebih 6,000 isi rumah yang terkesan akibat banjir Monsun Timur Laut (MTL) di seluruh Malaysia. Bantuan yang diberikan termasuk pengagihan makanan, kit kebersihan, hidangan masakan panas dan pembekalan air bersih di kawasan terjejas Selain itu, BSMM turut menyediakan Sokongan Kesihatan Mental dan Psikososial (MHPSS) di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) untuk membantu individu menghadapi cabaran fizikal dan emosi akibat banjir.

 

Kerugian banjir Kelantan cecah RM300J

Kota Bharu: Jumlah kerugian akibat banjir di Kelantan, baru-baru ini, dianggarkan bernilai lebih RM300 juta.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata jumlah berkenaan meliputi kerosakan infrastruktur seperti bangunan, jalan raya dan sektor pertanian serta kerugian lain.

“Jumlah ini termasuk kemusnahan infrastruktur bernilai RM80 juta dan RM30 juta untuk sektor pertanian,” katanya katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darul Naim, di sini, semalam.

Mohamed Fadzli berkata, kerajaan negeri akan membuat penilaian kepada semua mangsa banjir berdasarkan syarat kelayakan bagi memastikan mereka memperoleh bantuan yang sepatutnya.

Beliau berkata, jumlah bantuan yang akan diterima setiap mangsa banjir tidak sama disebabkan ia tertakluk kepada kemusnahan harta benda akibat bencana banjir.

“Kita ambil pengalaman banjir pada 2014 dan siapa yang layak menerima bantuan.

“Setakat ini, semua wakil rakyat di kawasan yang terjejas banjir sudah menerima sejumlah peruntukan daripada pihak kerajaan negeri untuk diagihkan kepada mereka terbabit,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, mangsa banjir yang kehilangan rumah akibat runtuh susulan banjir teruk baru-baru ini memohon bantuan semua pihak termasuk kerajaan negeri membantu membina semua rumah mereka.

Ia berikutan kebanyakan daripada mereka hanya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan tidak menentu.

Pada masa sama, mereka juga terpaksa menumpang saudara-mara serta menyewa disebabkan rumah rosak sepenuhnya.

Amaran hujan lebat di tiga negeri

Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi (Metmalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di beberapa daerah di Terengganu, Pahang dan Johor hingga esok.

Metmalaysia memaklumkan di Terengganu, amaran itu dikeluarkan bagi kawasan Dungun dan Kemaman, manakala Pahang membabitkan Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin.

Di Johor katanya, amaran sama dikeluarkan bagi daerah Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Amaran hujan tahap waspada turut dikeluarkan bagi beberapa daerah di Sarawak dan Sabah mulai hari ini hingga Ahad ini.

JKR perlu dua bulan baiki kerosakan Jalan Gua Musang-lojing

Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan memaklumkan proses baik pulih laluan di Kilometer (KM) 78 Jalan Gua Musang-lojing berhampiran Kampung Jekjok, Pos Brooke, berikutan berlaku mendapan minggu lalu, dijangka mengambil tempoh dua bulan.

Pengarahnya, Ir Nik Soh Yaacoub, berkata sehingga kini laluan berkenaan masih ditutup dan kerja baik pulih belum dapat dilakukan kerana menunggu cuaca kembali baik.

“Lencongan di laluan berkenaan tidak dapat dilakukan berikutan tanah di kawasan terbabit kurang stabil dan membahayakan sekiranya membuat jalan lencongan.

“Penyelesaian di laluan itu ialah membaik pulih dengan mengorek balik lubang benam berkenaan, sebelum melihat serta mengenal pasti tahap kerosakan sebenar.

“Kita akui penutupan itu meresahkan pengguna termasuk lori yang membawa bekalan sayuran, namun laluan ini tidak boleh dibuat dalam keadaan tergesa-gesa bagi menjamin kualiti jalan,” katanya ketika dihubungi.

Media sebelum ini melaporkan, laluan di Kilometer (KM) 78 Jalan Gua Musang-lojing berhampiran Kampung Jekjok, Pos Brooke ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan susulan berlaku jalan mendap pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, dilaporkan berkata, laluan terbabit ditutup kepada semua kenderaan daripada kedua-dua arah sehingga arahan baharu dikeluarkan oleh JKR.

Susulan penutupan itu, lebih 200 pemborong di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong mendakwa harga sayur naik mendadak sehingga empat kali ganda minggu ini.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search