OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

219 ketua isi rumah sudah terima bantuan segera

219 ketua isi rumah sudah terima bantuan segera

Sebanyak 219 daripada 469 ketua isi rumah yang terbabit dalam insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya telah menerima bantuan segera seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Pejabat Daerah Petaling sedang memuktamadkan proses verifikasi kesemua mangsa menjelang Jumaat ini bagi memastikan tiada keciciran bantuan atau sebarang kesilapan berlaku.

“Sehingga malam kelmarin, sebanyak 469 keluarga telah disahkan sebagai penduduk yang terkesan akibat letupan saluran gas pada Selasa lepas oleh Pejabat Daerah Petaling dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Angka ini berbeza dengan jumlah mendaftar dengan PPS, iaitu 613 keluarga meliputi kawasan di luar taman perumahan dan kampung yang terkesan,” katanya pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini kelmarin.

Amirudin berkata, kerajaan negeri sudah memuktamadkan 469 ketua isi rumah yang layak untuk menerima sumbangan sama ada RM10,000 atau RM5,000 yang diumumkan sebelum ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memulakan kerja-kerja pembersihan di sekitar kawasan kejadian pada Sabtu dan Ahad ini, melibatkan kekuatan kira-kira 1,000 sukarelawan.

“Kita akan berusaha membersihkan sebaik mungkin lokaliti terlibat untuk memberikan lebih keselesaan kepada penduduk, terutamanya 270 rumah yang ditakrifkan selamat untuk diduduki,” katanya.

Amirudin turut memaklumkan bahawa Pejabat Tanah dan Daerah Petaling akan membuka kaunter bergerak di Kampung Kuala Sungai Baharu bagi memudahkan penduduk yang ingin membuat penggantian geran tanah yang rosak atau hilang dalam insiden kebakaran tersebut.

Beliau berkata, jalan sepanjang 30 meter antara lot pembinaan (lokasi kejadian) dan Taman Putra Harmoni juga akan ditutup bagi membolehkan proses siasatan dilaksanakan dengan lebih lancar.

“Ini untuk memudahkan pihak polis menjalankan siasatan dan pasukan teknikal dapat melakukan cerapan data bagi mengetahui dengan lebih lanjut insiden serta punca kejadian, supaya kita dapat menentukan pihak yang wajar bertanggungjawab terhadap masalah ini,” katanya.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search