OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Sumbangan Ihsan MADANI ringankan beban 200 keluarga mangsa banjir

TANAH MERAH, 25 Jan: Sumbangan Ihsan MADANI kepada 200 keluarga mangsa banjir di Kelantan termasuk bantuan pembelian pakaian seragam sekolah, meringankan lagi beban ibu bapa menjelang sesi persekolahan akan datang.

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata sumbangan itu merangkumi baucar pembelian di pasar raya tertentu untuk keperluan persekolahan.

“Selain bantuan banjir dan pakaian seragam sekolah, kerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga membolehkan sebanyak 200 topi keledar diagihkan kepada penduduk setempat di sini.

“Seramai 58 keluarga kakitangan JPJ yang turut terjejas akibat banjir turut menerima bantuan Ihsan MADANI. Selain itu lesen motosikal percuma juga diberikan kepada penerima terpilih dengan syarat mereka menghadiri kelas yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sumbangan Skuad Ihsan MADANI JPJ Kelantan dan Pakaian Seragam Sekolah Kepada Mangsa Banjir di Sekolah Kebangsaan Bendang Nyior, di sini hari ini.

Beliau berkata bantuan yang disalurkan itu turut mendapat kerjasama badan bukan kerajaan (NGO), badan kebajikan dan inisiatif pendidikan kepada pelajar miskin Malaysia sejak 2016. -TVS

Buat aduan jika belum terima bantuan banjir

TANAH MERAH - Mangsa banjir yang masih belum menerima sebarang bantuan perlu membuat aduan kepada pihak bertanggungjawab menguruskan bantuan terbabit.

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu bantuan berkenaan terus diagihkan kepada mangsa.

Menurutnya, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) semua mangsa banjir layak menerima bantuan selepas mereka mendaftar dengan pusat pemindahan sementara (PPS).

"Semalam Perdana Menteri memberi arahan supaya agensi membuat semakan sehingga ke akar umbi bagi mengelakkan kumpulan tercicir daripada menerima bantuan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Majlis Sumbangan Skuad Ihsan Madani JPJ dan Pakaian Seragam Sekolah Kepada Mangsa Banjir di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli.

Shamsul Iskandar memberitahu, sehingga kini tiada isu mengenai mangsa tidak menerima bantuan kerana pasukan yang diarahkan sudah melaksanakan tugasnya.

"Bagaimanapun, jika ada yang belum terima boleh buat aduan kerana kita mengambil serius perkara ini dan akan membuat semakan," katanya.

Melalui program berkenaan, Shamsul Iskandar turut menyampaikan baucar pembelian pakaian sekolah kepada 200 murid.

 

Dakwaan lebih 100,000 mangsa banjir belum terima bantuan perlu disiasat - Shamsul Iskandar

TANAH MERAH: Agensi berkaitan pengurusan bencana digesa menyiasat segera dakwaan terdapat mangsa banjir yang masih belum menerima bantuan sepatutnya, kata Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Beliau berkata lebih 100,000 mangsa banjir masih belum menerima bantuan meskipun perkara itu perlu diselesaikan segera.

“Kita menerima laporan bahawa ramai mangsa banjir belum menerima bantuan. Kerajaan komited memastikan bantuan ini sampai kepada mereka yang berkelayakan. Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sendiri telah mengarahkan supaya isu ini disemak hingga ke akar umbi bagi memastikan tiada yang tercicir.

“Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP), mangsa banjir yang mendaftar di pusat pemindahan sementara (PPS) layak menerima bantuan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara dan agensi-agensi berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Sumbangan Skuad Ihsan MADANI Jabatan Pengangkutan Jalan Kelantan dan pakaian seragam sekolah kepada mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Bendang Nyior di sini hari ini.
 

Shamsul Iskandar berkata beliau tidak mahu mendengar kes mangsa banjir tercicir daripada menerima bantuan sedangkan mereka layak menerimanya berdasarkan pendaftaran di PPS.

Beliau berharap aduan berkenaan dapat diselesaikan dengan segera bagi memastikan bantuan disalurkan kepada semua mangsa yang layak.

“Mengikut SOP, bantuan sepatutnya diberikan dalam tempoh sebulan tetapi kini sudah dua bulan berlalu. Peruntukan telah ada, namun isu ini masih berlanjutan melibatkan beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah,” katanya.

Shamsul Iskandar turut menyeru mangsa banjir yang belum menerima bantuan agar melaporkan perkara itu kepada pemimpin masyarakat bagi memudahkan tuntutan dibuat dan mengelakkan isu berbangkit.

Kebakaran Los Angeles serlah kepentingan pengurusan logistik bencana

LANDSKAP Los Angeles dilaporkan berubah menjadi 'kanvas kemusnahan'. Sebanyak 27 nyawa melayang, lebih 13,600 bangunan lebur dan puluhan ribu penduduk terusir. Inilah statistik mengerikan Kebakaran Hughes, menyusul selepas kebakaran Palisades dan Eaton.

Langit berwarna hitam asap dan api merah menyala didorong angin menjadi peringatan mengenai potensi alam membawa bencana dan kemusnahan.

Kebakaran Hughes, terkini dalam siri kebakaran membinasakan di Los Angeles, merentas komuniti, meninggalkan jejak duka dan kemusnahan.

Laluan kecemasan terputus dan terhalang. Lebuh raya utama, yang dahulunya menjadi urat nadi komunikasi dan penyelamatan, bertukar menjadi penghalang mencabar pasukan penyelamat.

Pada saat krisis ini, logistik bencana bukan sekadar cabaran teknikal, malah ia bertukar menjadi talian hayat antara kelangsungan hidup dan kehancuran total.

Menurut Pengarah Eksekutif American Logistics Aid Network (ALAN), Kathy Fulton, lawatan ke pelbagai organisasi terbabit dalam usaha bantuan awal kebakaran mendedahkan realiti mengejutkan.

Walaupun pelbagai berita menyarankan keperluan mendesak terhadap makanan, air, pakaian dan komoditi lain, keadaan sebenar di lapangan jauh lebih rumit.

Pasca kebakaran Palisades dan Eaton mendedahkan sisi terbaik serta terburuk tindak balas tindakan kecemasan. Solidariti komuniti meningkat menerusi sumbangan mengalir ke pusat bantuan. Namun, kemurahan hati melimpah ini mendedahkan kelemahan logistik signifikan.

Sukarelawan bergelut mengurus, menyusun dan mengagihkan bantuan yang tiba dalam pelbagai bentuk serta kuantiti. Kelewatan ini menyebabkan mangsa memerlukan bantuan segera tidak dapat menerimanya dengan pantas.

Bekalan kritikal tertangguh, menyebabkan mangsa paling memerlukan bantuan, berada dalam keadaan menunggu. Kekacauan ini bergema dengan cabaran serupa dalam bencana global, termasuk usaha bantuan banjir di Malaysia.

Laporan ALAN mendedahkan lebih 40 peratus kos bantuan mangsa kebakaran itu dibazirkan akibat pengurusan tidak cekap. Ia bukan sekadar nombor.

Di sebalik setiap titik peratusan terdapat kisah manusia mengenai masalah bekalan perubatan tertangguh, mangsa kelaparan kerana bantuan makanan tidak tiba dan penderitaan berpanjangan akibat kelemahan penyelarasan bantuan.

Malaysia, yang kerap menghadapi risiko bencana alam, boleh mengambil pengajaran kritikal daripada pengalaman di Los Angeles. Bagi organisasi yang terbabit dalam membantu mangsa banjir termasuk aktivis, kumpulan, syarikat, agensi, dan sukarelawan, mereka perlu memberi perhatian khusus kepada pengurusan logistik kecemasan.

Latihan bencana proaktif adalah kunci utama dalam mempersiapkan pasukan tindak balas kecemasan. Ia memerlukan pembangunan program latihan logistik menyeluruh seperti simulasi bencana sebenar yang mana setiap ahli pasukan diberi pendedahan mendalam cabaran pengurusan bencana.

Perlu sistem cekap agih sumbangan

Pengurusan sumbangan sistematik memerlukan satu garis panduan jelas untuk menyusun, mengasingkannya mengikut kategori dan mengagihkan bekalan kecemasan secara cekap.

Contohnya, menggunakan sistem penandaan warna untuk kategori bekalan atau membangunkan platform digital bagi menjejak aliran gerakan ke mana sumbangan diagihkan dan kepada siapa diserahkan.

Koordinasi berpusat menjadi nadi kepada kejayaan usaha menyalurkan segala bantuan kepada mangsa amukan alam. Ia menjadi pengajaran besar kepada negara untuk beradaptasi dengannya.

Pembentukan pusat kawalan logistik tunggal berfungsi 24 jam perlu diwujudkan bagi menyelaras usaha mengagih dan menyalur bantuan dengan lebih teratur, sekali gus membolehkan pemantauan berterusan dan pengagihan sumber adil.

Kebakaran di Los Angeles bukan sekadar tragedi bersifat tempatan. Ia mewakili amaran global mengenai perubahan dan kerentanan iklim semakin meningkat. Pengurusan bencana cekap bukan lagi pilihan, ia adalah keperluan menentukan kelangsungan hidup.

Ukuran sebenar ketahanan sesebuah komuniti bukan sekadar berupaya mencegah bencana, tetapi seberapa pantas mencegahnya dan keberkesanan pasukan penyelamat bertindak secara bersepadu.

Ketika Los Angeles sedang berkira-kira untuk berdiri semula, dunia juga memerhati dan mengambil pelajaran daripada kebakaran mega di sana. Ia menuntut kita bersedia sepanjang masa dan sepenuhnya untuk berdepan ancaman perubahan iklim ekstrem dan menguruskannya.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Rantaian Bekalan dan Logistik, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Open University Malaysia (OUM)

 

MetMalaysia warns of thunderstorms in multiple states until noon on Jan 26

PETALING JAYA: The Malaysian Meteorological Department (MetMalaysia) is warning of thunderstorms, heavy rain and strong winds in most parts of the country until 12pm on Sunday (Jan 26).

In a statement, MetMalaysia said the states affected are Perak (Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk and Hilir Perak) as well as Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat and Sepang).

Aside from this the Federal Territories of Kuala Lumpur and Putrajaya are also affected along with Negeri Sembilan (Seremban, Port Dickson and Rembau) and Melaka (Alor Gajah and Central Melaka).

In Sarawak, the areas affected are Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah and Kapit (Song) while the areas set to experience adverse weather in Sabah are Tawau, Lahad Datu, Kinabatangan and Sandakan.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search