OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Jambatan ke Kampung Kubu Gajah ditutup, 306 mangsa banjir dipindahkan - Polis Sungai Buloh

Jambatan ke Kampung Kubu Gajah ditutup, 306 mangsa banjir dipindahkan - Polis Sungai Buloh

SUNGAI BULOH: Laluan alternatif dibuka bagi menggantikan jambatan di jalan utama Kampung Kubu Gajah, dekat sini, yang ditutup sepenuhnya susulan kerosakan akibat banjir awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata kejadian menyebabkan kerosakan tebing sungai sehingga menjejaskan kestabilan struktur dan mengakibatkan jambatan runtuh.

"Susulan itu, laluan utama menghubungkan Kampung Kubu Gajah dengan Kampung Paya Jaras Hilir ditutup sepenuhnya atas faktor keselamatan.

"Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Petaling menyediakan laluan alternatif melalui Jalan Merbau Sempak dari FT54 ke Kampung Kubu Gajah serta Jalan Paya Jaras Hilir dari FT54 ke Kampung Paya Jaras Hilir," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Hafiz berkata, kerja pembaikan tebing dianggarkan mengambil masa antara dua hingga tiga minggu.

Katanya, berdasarkan rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat jam 2 petang tadi, seramai 306 mangsa daripada 59 keluarga yang terjejas akibat banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

"PPS Dewan Seri Pagi MBSA membabitkan 93 mangsa, Sekolah Kebangsaan Merbau Sempak (165) dan Dewan Siantan, Kampung Melayu Subang (25) orang.

"Sementara itu, sehingga jam 2 petang tadi, Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh menerima sebanyak 356 laporan polis berkaitan kejadian banjir," katanya.

Terdahulu media melaporkan, beberapa kawasan sekitar Sungai Buloh, Selangor, dilaporkan dilanda banjir awal pagi tadi dan kediaman penduduk dinaiki air.

Antara kawasan dilaporkan terjejas ialah Kampung Paya Jaras Hilir, Kampung Kubu Gajah 24 dan Kampung Melayu Subang, berdasarkan perkongsian gambar serta video penduduk di media sosial Threads.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search