Projek naik taraf sistem perparitan Kampung Stutong fasa kedua dijangka siap Mei 2027
- Admin UKK
- Berita
KUCHING, 4 Nov: Usaha menangani masalah banjir kilat berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Stutong diteruskan menerusi pelaksanaan projek menaik taraf sistem perparitan fasa kedua bernilai RM300,000 di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).
Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin berkata, projek fasa kedua itu merupakan kesinambungan daripada fasa pertama bernilai RM200,000 yang telah siap dilaksanakan sebelum ini.
Menurutnya, projek yang dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak itu dijangka mengambil masa enam bulan, bermula 2 November 2026 hingga 2 Mei 2027,dengan skop kerja merangkumi pembinaan parit baharu dan menaik taraf laluan lintasan air.
“Fasa kedua ini bukan fasa terakhir kerana kita masih mempunyai fasa ketiga, keempat dan kelima bagi menaik taraf keseluruhan sistem perparitan di kampung ini,” katanya ketika ditemui TVS pada majlis penyerahan kertas projek kepada kontraktor di sini, hari ini.
Menurut beliau, pelaksanaan projek secara berperingkat itu mengambil kira keperluan penduduk setempat, termasuk aspek kemudahan balai raya, jalan kampung serta infrastruktur sekolah berhampiran.
Selain sistem perparitan, sebanyak RM80,000 telah diperuntukkan bagi kerja menaik taraf balai raya, manakala tambahan RM100,000 diluluskan untuk fasa kedua kerja naik taraf kemudahan berkenaan.
Beliau berkata, perancangan pembangunan turut merangkumi naik taraf jalan kampung bernilai RM100,000 serta jambatan kecil yang dijadualkan dilaksanakan pada 2027.
“Kerja-kerja pembangunan ini bukan hanya tertumpu kepada perparitan, tetapi kita turut mengambil kira keperluan sekolah, balai raya dan jalan kampung supaya kemudahan penduduk dapat ditambah baik secara menyeluruh,” katanya.
Sementara itu, Penolong Jurutera JPS Sarawak, Harmandy Mohammed berkata, skop teknikal projek fasa kedua melibatkan pembinaan parit serta kerja menaik taraf beberapa laluan lintasan air.
Menurutnya, pelaksanaan projek itu dirangka berdasarkan masalah sistem saliran yang dikenal pasti di kawasan berkenaan, khususnya limpahan air yang berpotensi menyebabkan kejadian banjir kilat di kawasan kediaman.
“Harapan kita apabila projek ini siap kelak, ia dapat membantu mengurangkan masalah limpahan air yang sering berlaku di kawasan perumahan penduduk,” katanya.
Beliau turut menegaskan kerjasama antara agensi pelaksana, kontraktor dan penduduk kampung amat penting bagi memastikan kerja-kerja pembinaan berjalan lancar, selain aspek keselamatan serta gangguan terhadap persekitaran, khususnya kawasan sekolah berhampiran, terus diberi perhatian.-TVS
