OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

'Saban tahun banjir, ada anggap ia acara tahunan...'

'Saban tahun banjir, ada anggap ia acara tahunan...'

KUALA SELANGOR: "Dahulu rumah dilanda banjir semasa saya dan suami pergi menunaikan ibadah umrah. Kali ini peristiwa sama berulang kembali," kata Suriatie Mohd Senin, 50.

Menurut penduduk Kampung Seri Sentosa, Ijok itu, bah yang melanda penempatan berkenaan mengakibatkan kediamannya ditenggelami air setinggi paras dada.

Katanya, dia dan suami, Hasan Md Rasol, 62, sentiasa meletakkan dokumen dan barangan penting di dalam dua kenderaan milik mereka dan di tempat lebih tinggi.

"Ini bukan kali pertama (terjadi), sebaliknya saban tahun berlaku sehingga ada yang menganggap ia acara tahunan.

"Disebabkan pengalaman lepas, kami mengambil keputusan untuk tidak membeli banyak perabot dan barang elektrik kerana khuatir ditenggelami air," katanya ketika ditemui di kediamannya.

Peniaga kedai runcit, Mohd Iqbal Zakaria, 38, yang berniaga sejak 10 bulan lalu, mengakui kejadian berlaku secara mengejut walaupun persiapan sudah dibuat sehari sebelumnya.

"Semasa banjir, saya berada di Subang dan kebetulan ada seorang staf yang menjaga kedai. Malam tadi kami sempat alihkan barang niaga ke tempat tinggi.

"Meskipun tiada kerugian dialami, peristiwa ini tidak dijangka sama sekali. Saya reda dengan musibah yang melanda dan berharap pihak kerajaan melakukan sesuatu supaya penduduk tidak lagi mengalami kejadian sama," katanya.

Tinjauan di Taman Saujana Aman, di sini, mendapati puluhan kereta dan motosikal milik penduduk diletakkan di tempat tinggi susulan banjir yang melanda kawasan perumahan itu.

Penduduk, Mohd Ikram Yahaya, 40, berkata hujan lebat yang melanda pada 12 tengah malam tadi menyebabkan dia sekeluarga tidak lena tidur.

"Sepanjang enam tahun tinggal di sini, kejadian ini antara yang ketiga terburuk sejak banjir besar pada Disember 2021.

"Sebelum ini, pihak berwajib sudah menjalankan tugas mereka seperti membina tembok penahan bagi mengatasi limpahan air memasuki kediaman penduduk," kata bapa tiga anak berusia 10 hingga tiga tahun ini.

Beliau juga berharap kejadian sama tidak berulang kembali kerana kediamannya itu satu-satunya tempat dia sekeluarga berlindung.

Asimah Rusdi, 40, mengakui terkejut dengan kejadian banjir itu sehingga terpaksa berpindah sekitar jam 4 pagi tadi.

"Saya tidak mahu situasi sama berulang kerana ia menyukarkan kegiatan seharian penduduk. Ditambah pula dengan air termenung yang mengambil masa sekurang-kurangnya dua hari untuk surut, ia sekali gus menyukarkan kerja pembersihan," katanya.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search