OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Kebakaran Kampung Bahagia: Tragedi kemanusiaan, jamin bantuan segera - Mustapa

Kebakaran Kampung Bahagia: Tragedi kemanusiaan, jamin bantuan segera - Mustapa

KOTA KINABALU: Kebakaran besar yang memusnahkan 1,000 rumah di Kampung Bahagia, Sandakan awal pagi tadi disifatkan sebagai satu tragedi kemanusiaan yang mendukacitakan seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud, berkata Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersama agensi berkaitan telah digerakkan dengan segera ke lokasi berkenaan bagi membantu mangsa.

Beliau berkata, operasi agensi itu merangkumi proses menyelamat, pemindahan mangsa, pendaftaran, serta penyediaan bantuan awal di pusat penempatan sementara (PPS).

Menzahirkan rasa pilu atas musibah itu, beliau berkata, kesedihan yang dialami oleh penduduk Kampung Bahagia turut dirasai seluruh rakyat Malaysia.

"Bayangkan, dalam satu malam ada anak-anak yang kehilangan tempat berteduh, ibu bapa yang kehilangan segala harta benda, dan keluarga yang kini tinggal sehelai sepinggang dengan hanya pakaian di badan.

ย 

"Insiden ini bukan sekadar kebakaran, ia adalah satu tragedi kemanusiaan yang telah memusnahkan hampir 1,000 buah rumah dan menjejaskan ribuan penduduk dalam sekelip mata," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mustapha turut memberi jaminan mangsa yang terbabit tidak akan dibiarkan bersendirian dalam menghadapi saat sukar itu.

Katanya, Kerajaan MADANI bersama-sama Kerajaan Negeri Sabah akan memastikan segala bentuk bantuan disalurkan secepat mungkin dengan usaha pemulihan digerakkan penuh komitmen.

Beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya warga Sabah untuk terus bersatu hati menghulurkan sumbangan serta mendoakan kesejahteraan mereka kerana bantuan fizikal semata-mata tidak mampu mengubati trauma mangsa.

"Dalam saat sebegini, kita tidak boleh biarkan mangsa menghadapi ujian ini sendirian. Insya-Allah, daripada abu ini, kita akan bangkit semula," katanya.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search